December 19, 2009

PROSES KREATIF “KEPADA ANGIN JUGA"

PENGAKUAN DAN KESAKSIAN SEORANG PENYAIR

1
SEGALANYA
bermula ketika berada di Manila ketika menghadiri Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila dari 27 Januari hingga 3 Februari, 1995

Melihat persekitaran yang baru dan asing, juga melihat bagaimana di belahan dunia lain masih ada manusia yang bergelut semata-mata hanya untuk secuil ruang merebahkan tubuhnya di kala malam semakin memanjang, atau hanya tidur berbumbungkan langit, bertalu tanya menerjahi dalaman diri dan sekaligus menggoda air mata supaya tumpah.

Tetapi ternyata bersendirian di kota Manila selama seminggu meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

Air mata tidak semata-mata tumpah kerana sedih yang mendatangi jiwa di saat hati dilanda rawan melihat manusia yang sama warna kulitnya bertarung demi hidup.

Sebaliknya, ada waktunya, ketika diri berasakan jauh dari sesuatu yang dicintai dan sekaligus berasa rindu dan terasing sunyi, terasa ada juga air mata yang telah tumpah.

Kesan peristiwa dan gelora jiwa inilah yang melatari sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Kepada Angin Juga” di dalam kumpulan ini.

Kemudiannya, setelah berbulan kembali ke tanah air, kesan dan rasa ini tetap juga merongrong diri. Kerana itu, ketika menciptakan sejumlah besar sajak-sajak, selain bertolak dari catatan asli di Manila, gerak dan rasa perasaan itu juga turut menjadi penggerak.

Alasannya, sejujur mungkin, saya berusaha mengucapkan kembali segala ketumpahan itu -- dengan air mata yang tidak selalu menitis, tetapi telah tertitis juga akhirnya.

Melalui sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil ini, saya juga secara tidak langsung cuba memaparkan betapa ada banyak cara manusia ingin menyatakan insaf dirinya.

Bertamsil dari kejadian, peristiwa atau fenomena alam. Malah dengan analogi rindu, cinta, resah dan amarah. Walau jawab yang ditemui tidak semestinya penawar segala lara di dalam jiwa, setidaknya, kita manusia belajar menjadi manusia yang lebih penyabar menghadapi segala duga.

Walau segalanya kembali kepada angin juga, dan kesal tetap juga terasa, namun kita akhirnya menjadi insan lebih pemaaf dan merelakan segala rasa kecewa serta kesedihan -- tetapi juga di saat gembira atau kerana rasa rindu dan terasing.

Kumpulan sajak ini tidak lain adalah suatu catatan dari bahagian yang lain dari kehidupan kesenimanan saya sebagai seorang penyair.

2
SEBUAH
puisi tidak lain hanyalah alat. Alat bagi seorang penyair. Tetapi tidak bererti “tukul” atau “kapak”.

Sebaliknya, sebagai alat bagi seorang penyair, sebuah puisi adalah sebuah “kenderaan”. Sebuah kenderaan yang membantu penyair bergerak serta membawa diri-nya mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya.

Dan oleh kerana penyair juga adalah warga sah bagi sebuah alam luas bernama dunia, maka sikap hidup, pengertian serta reaksi-reaksi yang diberikannya sebagai seorang penyair juga secara langsung berhubung erat dengan segala macam soal yang berhubungan dengannya - dari soal yang sangat sepele atau tetek-bengik hinggalah kepada yang paling me-nyentuh hati nurani manusia yang masih belum tersunglap mata batinnya menjadi Boragas.

Memang, dalam dunia yang semakin mengkiblatkan benda ini, nilai sebuah puisi, yang sifatnya lebih mendekati alam kerohanian atau bawah sedar manusia, serta nilai-nilai pemikiran lain yang natijah utamanya tidak meletakkan tolak ukur keuntungan hanya pada zahirnya semata-mata; puisi semakin menjadi penyebab untuk dipersoalkan.

Namun, biar apa pun sikap atau kepercayaan lain yang cuba dipaksakan ke atas tubuh puisi atau penyairnya, tanpa sebarang rasa takut, nyeri, malu atau ingin bermusuhan, penyair tetap tegak berdiri dengan keyakinannya sendiri. Tetap saja membawa dirinya mengembara dan terus mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya — melalui “kenderaan” puisi.

Lewat pengembaraan-pengembaraan inilah, penyair akhirnya, meskipun tidak sepenuhnya menemukan jawapan, tetapi setidak-tidaknya memberikan semacam kesaksian. Kesaksian terhadap apa yang telah ditempuh atau didepaninya di- sepanjang riwayat hidupnya di tanah luas bernama dunia ini.

Kesaksian bahawa sebagai salah sebatang tubuh bernama manusia, dia sudah pun menunaikan apa yang perlu dia tunaikan. Kesaksian yang dia tunai dan ucapkan dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab lewat kata-kata.

Dan tentu saja juga, dengan kepercayaan bahawa kesaksian yang diucapkannya itu, kalau pun tidak sepenuhnya, jika sedikit dapat dikongsi bersama sesiapa saja yang menjadi khalayak puisinya, pun sudah memadai.

Dengan harapan yang sedemikian jugalah penyair tidak pernah merasa letih dan jemu meneruskan pengembaraannya. Dan memang, sebagai penyair dia terlalu banyak menyimpan harapan. Harapan untuk melihat tanah indah dan permai bernama dunia ini tidak berterusan dicakar cemar lantaran hadirnya beberapa hati yang memiliki sifat haloba.

Betapa pun dikatakan sebahagian orang bahawa tanah luas yang bernama dunia ini semakin galau dan tidak punya tempat lagi untuk segala macam harapan, namun bagi seorang penyair, harapan itulah yang memberikan dia kekuatan dan tetap mengentalkan rasa percayanya terhadap hidup dan rasa cinta terhadap tanah air tercintanya.

Kerana dia percaya, apa pun sekali bentuk keserakahan atau pun pemerkosaan, segalanya itu pasti akan berakhir juga sudahnya. Dan untuk itu, sejarah tidak pernah berbohong!

3
DENGAN
kesedaran dan harapan yang sedemikianlah puisi-puisi yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Buku Sejarah” di dalam kumpulan ini sebahagian besarnya ditulis.

Ditulis dengan rasa cinta yang tidak berbelah bagi untuk dunia dan negerinya dan sekaligus juga sebagai suatu kesaksian penyair terhadap diri, dunia serta persekitarannya.

Sebagai suatu kesaksian bahawa penyair telah dan pernah hidup di tengah segala macam denyut peristiwa serta menjadi larut di dalamnya secara batiniah dan merakamkannya kembali lewat kata-kata.

Namun, dalam proses merakam dan memberikan kesaksian itu, penyair tetap menyedari betapa peranannya sebagai penyair tidaklah lebih mulia daripada sesiapa saja yang bukan penyair. Dan kerana itu jugalah, dia mengelak untuk menjadi seorang penghukum.

Sebagai penyair, kesaksian hidupnya tidak lain hanyalah terhadap kata-kata dan rasa percaya yang penuh lagi tinggi terhadap kebenaran dan sejarah yang tidak pernah berbohong.

Kerana itulah dia tetap dan terus menyair!

MARSLI N.O

No comments:

Post a Comment