December 19, 2009

KEPADA ANGIN JUGA : KUMPULAN SAJAK MARSLI N.O

KUMPULAN sajak “Kepada Angin Juga” ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ada tahun 2008. Kumpulan sajak setebal 138 halaman yang dibahagikan kepada dua bahagian ini memuatkan 119 sajak.

Bahagian pertama, “Kepada Angin Juga” memuatkan 70 sajak. Sajak-sajak di bahagian pertama ini agak pendek dan berkisar di seputar soal kerinduan yang ditempoh penyair dalam kembara peribadinya. Namun begitu, kerinduan yang diucapkan penyair sifatnya lebih berupakan renungan dan mempertanyakan kembali makna rindu, sunyi, rasa terasing dan cinta seorang manusia.

“Buku Sejarah” merupakan judul bagi bahagian kedua kumpulan sajak ini. Berbeza dengan bahagian pertama, sajak-sajak di bahagian ini berbentuk naratif dan agak lebih lebih panjang. Persoalan utama yang dipaparkan penyair adalah seputar soal perdamaian dan secara tidak langsng memprotes sikap kalangan yang sewenangan memperkosa hak asasi sesama manusia.

Pelawat blog ini dan juga pembaca yang lain sila dapatkan kumpulan cerpen ini di kedai-kedia buku yang menjual terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur atau di pasaran.

Atau boleh juga dipesan langsung ke alamat penulisnya jika ingin mendapatkan tandatangan penulis dengan cara mengirimkan wangpos atas nama RAMLI BIN SELAMAT wang pos RM20 (RM18 harga buku + RM2 ongkos pos) atas nama RAMLI BIN SELAMAT ke alamat surat menyurat penulis. Simpan keratan wangpos untuk tuntutan semula sekiranya kiriman tidak diterima oleh pemesan.

Pesanan boleh juga dilangsungkan dengan memasukkan jumlah RM yang sama ke akaun MAYBANK penulis dengan menghubungi MARSLI N.O lewat email: marslino@yahoo.com

PROSES KREATIF “KEPADA ANGIN JUGA"

PENGAKUAN DAN KESAKSIAN SEORANG PENYAIR

1
SEGALANYA
bermula ketika berada di Manila ketika menghadiri Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila dari 27 Januari hingga 3 Februari, 1995

Melihat persekitaran yang baru dan asing, juga melihat bagaimana di belahan dunia lain masih ada manusia yang bergelut semata-mata hanya untuk secuil ruang merebahkan tubuhnya di kala malam semakin memanjang, atau hanya tidur berbumbungkan langit, bertalu tanya menerjahi dalaman diri dan sekaligus menggoda air mata supaya tumpah.

Tetapi ternyata bersendirian di kota Manila selama seminggu meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

Air mata tidak semata-mata tumpah kerana sedih yang mendatangi jiwa di saat hati dilanda rawan melihat manusia yang sama warna kulitnya bertarung demi hidup.

Sebaliknya, ada waktunya, ketika diri berasakan jauh dari sesuatu yang dicintai dan sekaligus berasa rindu dan terasing sunyi, terasa ada juga air mata yang telah tumpah.

Kesan peristiwa dan gelora jiwa inilah yang melatari sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Kepada Angin Juga” di dalam kumpulan ini.

Kemudiannya, setelah berbulan kembali ke tanah air, kesan dan rasa ini tetap juga merongrong diri. Kerana itu, ketika menciptakan sejumlah besar sajak-sajak, selain bertolak dari catatan asli di Manila, gerak dan rasa perasaan itu juga turut menjadi penggerak.

Alasannya, sejujur mungkin, saya berusaha mengucapkan kembali segala ketumpahan itu -- dengan air mata yang tidak selalu menitis, tetapi telah tertitis juga akhirnya.

Melalui sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil ini, saya juga secara tidak langsung cuba memaparkan betapa ada banyak cara manusia ingin menyatakan insaf dirinya.

Bertamsil dari kejadian, peristiwa atau fenomena alam. Malah dengan analogi rindu, cinta, resah dan amarah. Walau jawab yang ditemui tidak semestinya penawar segala lara di dalam jiwa, setidaknya, kita manusia belajar menjadi manusia yang lebih penyabar menghadapi segala duga.

Walau segalanya kembali kepada angin juga, dan kesal tetap juga terasa, namun kita akhirnya menjadi insan lebih pemaaf dan merelakan segala rasa kecewa serta kesedihan -- tetapi juga di saat gembira atau kerana rasa rindu dan terasing.

Kumpulan sajak ini tidak lain adalah suatu catatan dari bahagian yang lain dari kehidupan kesenimanan saya sebagai seorang penyair.

2
SEBUAH
puisi tidak lain hanyalah alat. Alat bagi seorang penyair. Tetapi tidak bererti “tukul” atau “kapak”.

Sebaliknya, sebagai alat bagi seorang penyair, sebuah puisi adalah sebuah “kenderaan”. Sebuah kenderaan yang membantu penyair bergerak serta membawa diri-nya mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya.

Dan oleh kerana penyair juga adalah warga sah bagi sebuah alam luas bernama dunia, maka sikap hidup, pengertian serta reaksi-reaksi yang diberikannya sebagai seorang penyair juga secara langsung berhubung erat dengan segala macam soal yang berhubungan dengannya - dari soal yang sangat sepele atau tetek-bengik hinggalah kepada yang paling me-nyentuh hati nurani manusia yang masih belum tersunglap mata batinnya menjadi Boragas.

Memang, dalam dunia yang semakin mengkiblatkan benda ini, nilai sebuah puisi, yang sifatnya lebih mendekati alam kerohanian atau bawah sedar manusia, serta nilai-nilai pemikiran lain yang natijah utamanya tidak meletakkan tolak ukur keuntungan hanya pada zahirnya semata-mata; puisi semakin menjadi penyebab untuk dipersoalkan.

Namun, biar apa pun sikap atau kepercayaan lain yang cuba dipaksakan ke atas tubuh puisi atau penyairnya, tanpa sebarang rasa takut, nyeri, malu atau ingin bermusuhan, penyair tetap tegak berdiri dengan keyakinannya sendiri. Tetap saja membawa dirinya mengembara dan terus mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya — melalui “kenderaan” puisi.

Lewat pengembaraan-pengembaraan inilah, penyair akhirnya, meskipun tidak sepenuhnya menemukan jawapan, tetapi setidak-tidaknya memberikan semacam kesaksian. Kesaksian terhadap apa yang telah ditempuh atau didepaninya di- sepanjang riwayat hidupnya di tanah luas bernama dunia ini.

Kesaksian bahawa sebagai salah sebatang tubuh bernama manusia, dia sudah pun menunaikan apa yang perlu dia tunaikan. Kesaksian yang dia tunai dan ucapkan dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab lewat kata-kata.

Dan tentu saja juga, dengan kepercayaan bahawa kesaksian yang diucapkannya itu, kalau pun tidak sepenuhnya, jika sedikit dapat dikongsi bersama sesiapa saja yang menjadi khalayak puisinya, pun sudah memadai.

Dengan harapan yang sedemikian jugalah penyair tidak pernah merasa letih dan jemu meneruskan pengembaraannya. Dan memang, sebagai penyair dia terlalu banyak menyimpan harapan. Harapan untuk melihat tanah indah dan permai bernama dunia ini tidak berterusan dicakar cemar lantaran hadirnya beberapa hati yang memiliki sifat haloba.

Betapa pun dikatakan sebahagian orang bahawa tanah luas yang bernama dunia ini semakin galau dan tidak punya tempat lagi untuk segala macam harapan, namun bagi seorang penyair, harapan itulah yang memberikan dia kekuatan dan tetap mengentalkan rasa percayanya terhadap hidup dan rasa cinta terhadap tanah air tercintanya.

Kerana dia percaya, apa pun sekali bentuk keserakahan atau pun pemerkosaan, segalanya itu pasti akan berakhir juga sudahnya. Dan untuk itu, sejarah tidak pernah berbohong!

3
DENGAN
kesedaran dan harapan yang sedemikianlah puisi-puisi yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Buku Sejarah” di dalam kumpulan ini sebahagian besarnya ditulis.

Ditulis dengan rasa cinta yang tidak berbelah bagi untuk dunia dan negerinya dan sekaligus juga sebagai suatu kesaksian penyair terhadap diri, dunia serta persekitarannya.

Sebagai suatu kesaksian bahawa penyair telah dan pernah hidup di tengah segala macam denyut peristiwa serta menjadi larut di dalamnya secara batiniah dan merakamkannya kembali lewat kata-kata.

Namun, dalam proses merakam dan memberikan kesaksian itu, penyair tetap menyedari betapa peranannya sebagai penyair tidaklah lebih mulia daripada sesiapa saja yang bukan penyair. Dan kerana itu jugalah, dia mengelak untuk menjadi seorang penghukum.

Sebagai penyair, kesaksian hidupnya tidak lain hanyalah terhadap kata-kata dan rasa percaya yang penuh lagi tinggi terhadap kebenaran dan sejarah yang tidak pernah berbohong.

Kerana itulah dia tetap dan terus menyair!

MARSLI N.O

December 18, 2009

MENANTI BURAQ

KUMPULAN cerpen ketiga Marsli N.O ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2008. Memuatkan 27 cerpen Marsli N.O yang ditulis di antara rentang waktu 1989 hingga 2001 yang sebahagian besarnya pernah disiarkan di majalah dan akhbar seperti Dewan Sastera, Era, Dewan Budaya, Fantasi, Dakwah, Watan, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Bacaria dan Utusan Zaman.

Sebelum ini, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah menerbitkan kumpulan cerpen hasil karya Marsli N.O berjudul “Biduan” (1994) dan “Demi” (1998). Selain itu, secara persendirian Marsli N.O juga menerbitkan kumpulan cerpen “Penipu” yang memuatkan 8 cerita pendek pada tahun 1997.

Kebanyakan cerpen di dalam kumpulan cerpen ini secara intinya memaparkan persaoalan di sekitar pemimpin dan kepimpinanan. Pemimpin sebagai protoganis atau antoganis bergerak seiring dan menjadi bahan perbincangan yang tidak pernah selesai. Walau bagaimana pun tiada hukum atau penentuan hitam putih yang diberikan. Segalanya diserahkan kepada pembaca untuk menilai dan menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.

Lantaran ini jugalah barangkali blurb di bahagian kulit belakang kumpulan cerpen ini mencatatkan: “Cerpen yang terungkap dalam kumpulan cerpen ini membicarakan isu tentang pemimpin dan kepimpinan. Mesej yang diketengahkan oleh pengarang akan merangsang minda pembaca untuk menilai pemimpin yang baik atau di sebaliknya. Pendekatan psikoanalisis diterapkan dalam cerpen untuk menganilisis perasaan dalaman diri watak utama iaiatu pemimpin yang gagal atau menyalahguna kuasa semasa diberi tanggungjawab sebagai pemimpin.”

Pelawat blog ini dan juga pembaca yang lain sila dapatkan kumpulan cerpen ini di kedai-kedia buku yang menjual terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur atau di pasaran.Atau boleh juga dipesan langsung ke alamat penulisnya jika ingin mendapatkan tandatangan penulis dengan cara mengirimkan wangpos atas nama RAMLI BIN SELAMAT wang pos RM30 (RM28 harga buku + RM2 ongkos pos) atas nama RAMLI BIN SELAMAT ke alamat surat menyurat penulis. Simpan keratan wangpos untuk tuntutan semula sekiranya kiriman tidak diterima oleh pemesan.

Pesanan boleh juga dilangsungkan dengan memasukkan jumlah RM yang sama ke akaun MAYBANK penulis dengan menghubungi MARSLI N.O lewat email: marslino@yahoo.com

PENGANTAR KUMPULAN CERPEN “MENANTI BURAQ”

KENAPA “MENANTI BURAQ”

DI TENGAH dunia yang semakin menjadi sebok dan bising dengan pelbagai onar ini, manusia mahu tidak mahu perlu menentukan sikap dan pilihan hidupnya. Tentu sahaja, memilih untuk menghindar jauh adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Apa lagi untuk menyalahkan keadaan.

Di antara dua atau kalau pun ada, sekian banyak pilihan, sikap dan pilihan yang diambil dan dibuat itulah nanti akan menentukan ke arah mana manusia akan melangkah. Apakah sama mahu menjadi boragas yang kejam dan tega berbuat apa sahaja demi perut dan nafsu, atau memilih terus mengekalkan rasa dan jiwa manusia di dalam dirinya, dan pada waktu yang sama tidak melihat dunia ini sebagai penoh dengan kebejatan semata-mata.

Tentu sahaja tidak terlalu mudah untuk mengelak apa lagi memilih. Namun apa yang hendak dikatakan lagi. Inilah namanya hidup: duga dan cabar selalu menanti. Kerana duga dan cabar ini jugalah, tidak sedikit manusia yang kurang mampu mempertahankan kedirian dan kemanusiaannya, serta bergerak dan bernafas hanya dengan jiwanya yang kosong, menjadi tewas dan melebur bersama keadaan.

Atau dalam kata lain, kerana kurang memiliki daya untuk bertahan, jiwanya mudah mengalami goncangan dan sebagai pelarian, diseretnya diri yang nyata untuk berhalusinasi ke alam bukan nyata. Lalu musnahlah sudah segala kenormalan dirinya, sehingga tidak dapat lagi membezakan di antara yang nyata dengan khayalan, atau sesuatu yang cuma kilas dan bayang dengan sesuatu yang memang berwujud nyata.

Ternyata manusia itu, betapa pun berasa hebat dan kuatnya diri sendiri, tetap memerlukan sesuatu yang lain di dalam jiwanya. Keperluan jiwanya itu tidak lain adalah kepercayaan yang kukuh berlandaskan agama, yang dengan sepenuh hatinya mempercayai bahawa Tuahnnnya hanya satu dan kepada Dialah tempat diri sebagai manusia akan mengadu dan kembali.

Dengan kepercayaan yang demikian sahajalah, di dunia yang semakin sebok dan bising ini, diri manusia tidak mudah menjadi goyah atau menjadi lebur bersama keadaan. Betapa pun dirinya sesekali dihenyak oleh sekian jumlah peristiwa, atau berdepan dengan tingkah manusia yang memualkan, kepercayaan dan rasa yakinnya terhadap agama selalu akan mengajak dirinya kembali ke jalan yang lurus.

Dengan kepercayaan dan rasa yakin itu juga, dirinya mengakaui betapa segala sesuatu itu tetaplah berpasang-pasangan. Seperti hadirnya siang yang digilirkan dengan malam, begitu juga jika adanya kebejatan, pasti akan ada pula sejumlah kebaikan.

Kepercayaan, keyakinan yang kental dan kukuh terhadap agamanya, juga menjadi pengubat segala lara manusia ketika mendepani segala peristiwa atau kebejatan manusia. Dan bagi seorang penulis, segala peristiwa, menjadi tempat dirinya bercermin melihat dirinya sendiri.

Betapa pun tidak mudah melepaskan rasa sesal dan kecewa, namun tetap diterima betapa inilah namanya kenyataan. Malah sebagai penulis, apa yang dituliskannya itu, pada mulanya, tidak lain hanyalah terapi pengubat duka dan lara sendiri. Kerana itulah selalu dicari dan didambakan ruang, walau barang sekejap untuk bersendirian serta menyepi.

Di saat bersendirian di suatu ruang dan sedikit menjauh dari kebisingan begitulah diri kembali merenung serta menelusur ke dalam diri. Niatnya tidak lain, agar sentiasa menjadi manusia insaf dan jika perlu, dapat kembali bangkit dan melawan segala henyak dan duga hidup. Setelah itu, segala insaf dan semangat diri, dituangkan ke dalam tulisan dan dilanjutkan pula menjadi sebuah karya.

Memang sudah sejak mula diri menginsafi. Betapa pun sebagai terapi, namun sebuah tulisan yang telah dinaikkan darjatnya menjadi sebuah karya yang dikirimkan ke tengah khalayak, perlu pula memberikan sesuatu kepada mereka.

Dalam kata lain, apa yang dituliskan akhirnya sebagai karya bukan lagi hanya sebuah catatan nostagia dan longgokan keluh dan resah seorang penulis. Sesungguhnya, biarlah segala keluh dan segala kesah menjadi milik penulis, namun kepada khalayak, yang diberikan mestilah sesuatu yang dapat mereka jadikan cermin pembanding. Setidaknya, begitu harap penulis, walau tidak sampai menjadikan mereka meratap dan meraung kerana insaf, tetapi tetap juga ada sesuatu yang dapat dikongsi bersama mereka sebagai khlayak mahupun pembaca.

Seperti juga manusia lain yang bukan atau tidak menulis, seorang penulis tetap juga punya hati dan perasaan. Dan, kerana dia menjadi atau memilih untuk menulis, bukan pula bererti dirinya lebih hebat dan bermartabat dari orang lain. Kerana itu, segala yang dirasai, atau jika ada yang mengguris perasaanya, tetaplah sama dengan apa yang dirasai serta dialami oleh orang lain.

Hanya bezanya, betapapun penulis tidak menyenangi dan ingin berteriak menyatakan rasa kurang senang hati dan perasaannya terhadap persekitaran serta perilaku manusia, di dalam tulisan, teriak dan rasa kurang senangnya itu ingin disampaikannya dengan suatu cara lain yang lebih sedikit berseni. Dan, walaupun hasratnya untuk menghasilkan sesuatu yang sedikit lebih berseni itu, mungkin di mata penilaian orang lain, belum tentu sepenuhnya berhasil, tetapi setidaknya, dia berlaku jujur dengan diri dan perasaannya sendiri.

Maksudnya, sebagai penulis dia tidak ingin berlagak atau cuba mempamerkan egonya kepada khalayak yang membaca tulisannya. Di dalam tulisannya, dia hanya ingin menyampaikan segala rasa hati serta perasaannya secara jujur dan berdasarkan kemampuan yang dia miliki. Dia tidak ingin berlagak untuk menunjukkan tebalnya fikiran intelek yang dia miliki dengan menyebut pelbagai istilah dan jargon dari sesuatu yang dikatakan sebagai sumber karya yang berilmu.

Dia hanya ingin berbicara sesuatu yang dekat dengan dirinya dan dunia pembaca. Dia sama sekali tidak tergamak hendak mendustai pembaca bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak tahu atau alami, atau semata-mata kerana ingin dikatakan hebat, maka ditambahkan pelbagai bumbu dan renda istilah atas nama intelek. Sesungguhnya tidak.

Dia hanya ingin bercerita sesuatu yang terlalu biasa dan kerana itulah di dalam karyanya, yang selalu disebut serta diulang-ulang, hanyalah kisah dan peristiwa yang melibatkan manusia yang terlalu biasa. Kisah manusia kecil yang tidak bernama khusus, peristiwa yang terjadi di suatu tempat serta ruang yang seringnya juga tidak bernama khusus.

Nama, watak dan tempat hanyalah sesuatu yang umum. Kerana baginya, apa pun muslihat dan kebejatan yang dilakukan manusia, pelakunya tetaplah serupa dan merangkumi semua. Selagi tetap bernama manusia, selagi itulah dunia ini akan dionari mereka. Dengan pengertian itulah dia memilih bercerita dan menuliskan sesuatu yang melibatkan nama, watak, tempat dan peristiwa secara umum. Dengan cara begini jugalah, dia ingin mengelak menjadi hakim yang begitu mudah menjatuhkan hukum di dalam tulisannnya.

Hasrat dan kesedaran inilah yang melatari penciptaan cerpen “Menanti Buraq” dan cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini. Tiada nama-nama khusus yang besar, tiada peristiwa hebat dan menggamatkan di dalamnya. Semuanya hanyalah sesuatu yang terlalu biasa yang berkisar sekitar orang-orang kecil dan umum.

“Menanti Buraq” dan juga cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini hanya ingin bercerita tentang rasa tidak senang penulis terhadap persekitaran yang menurut hematnya semakin ditulari kebejatan. Namun sebagai penulis dia tidak ingin mempersalahkan keadaan atau pun mana-mana pihak “Menanti Buraq” hanya ingin memaparkan dan bukan berniat menghukum.


Marsli N.O
Ogos 8, 2007