December 18, 2009

PENGANTAR KUMPULAN CERPEN “MENANTI BURAQ”

KENAPA “MENANTI BURAQ”

DI TENGAH dunia yang semakin menjadi sebok dan bising dengan pelbagai onar ini, manusia mahu tidak mahu perlu menentukan sikap dan pilihan hidupnya. Tentu sahaja, memilih untuk menghindar jauh adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Apa lagi untuk menyalahkan keadaan.

Di antara dua atau kalau pun ada, sekian banyak pilihan, sikap dan pilihan yang diambil dan dibuat itulah nanti akan menentukan ke arah mana manusia akan melangkah. Apakah sama mahu menjadi boragas yang kejam dan tega berbuat apa sahaja demi perut dan nafsu, atau memilih terus mengekalkan rasa dan jiwa manusia di dalam dirinya, dan pada waktu yang sama tidak melihat dunia ini sebagai penoh dengan kebejatan semata-mata.

Tentu sahaja tidak terlalu mudah untuk mengelak apa lagi memilih. Namun apa yang hendak dikatakan lagi. Inilah namanya hidup: duga dan cabar selalu menanti. Kerana duga dan cabar ini jugalah, tidak sedikit manusia yang kurang mampu mempertahankan kedirian dan kemanusiaannya, serta bergerak dan bernafas hanya dengan jiwanya yang kosong, menjadi tewas dan melebur bersama keadaan.

Atau dalam kata lain, kerana kurang memiliki daya untuk bertahan, jiwanya mudah mengalami goncangan dan sebagai pelarian, diseretnya diri yang nyata untuk berhalusinasi ke alam bukan nyata. Lalu musnahlah sudah segala kenormalan dirinya, sehingga tidak dapat lagi membezakan di antara yang nyata dengan khayalan, atau sesuatu yang cuma kilas dan bayang dengan sesuatu yang memang berwujud nyata.

Ternyata manusia itu, betapa pun berasa hebat dan kuatnya diri sendiri, tetap memerlukan sesuatu yang lain di dalam jiwanya. Keperluan jiwanya itu tidak lain adalah kepercayaan yang kukuh berlandaskan agama, yang dengan sepenuh hatinya mempercayai bahawa Tuahnnnya hanya satu dan kepada Dialah tempat diri sebagai manusia akan mengadu dan kembali.

Dengan kepercayaan yang demikian sahajalah, di dunia yang semakin sebok dan bising ini, diri manusia tidak mudah menjadi goyah atau menjadi lebur bersama keadaan. Betapa pun dirinya sesekali dihenyak oleh sekian jumlah peristiwa, atau berdepan dengan tingkah manusia yang memualkan, kepercayaan dan rasa yakinnya terhadap agama selalu akan mengajak dirinya kembali ke jalan yang lurus.

Dengan kepercayaan dan rasa yakin itu juga, dirinya mengakaui betapa segala sesuatu itu tetaplah berpasang-pasangan. Seperti hadirnya siang yang digilirkan dengan malam, begitu juga jika adanya kebejatan, pasti akan ada pula sejumlah kebaikan.

Kepercayaan, keyakinan yang kental dan kukuh terhadap agamanya, juga menjadi pengubat segala lara manusia ketika mendepani segala peristiwa atau kebejatan manusia. Dan bagi seorang penulis, segala peristiwa, menjadi tempat dirinya bercermin melihat dirinya sendiri.

Betapa pun tidak mudah melepaskan rasa sesal dan kecewa, namun tetap diterima betapa inilah namanya kenyataan. Malah sebagai penulis, apa yang dituliskannya itu, pada mulanya, tidak lain hanyalah terapi pengubat duka dan lara sendiri. Kerana itulah selalu dicari dan didambakan ruang, walau barang sekejap untuk bersendirian serta menyepi.

Di saat bersendirian di suatu ruang dan sedikit menjauh dari kebisingan begitulah diri kembali merenung serta menelusur ke dalam diri. Niatnya tidak lain, agar sentiasa menjadi manusia insaf dan jika perlu, dapat kembali bangkit dan melawan segala henyak dan duga hidup. Setelah itu, segala insaf dan semangat diri, dituangkan ke dalam tulisan dan dilanjutkan pula menjadi sebuah karya.

Memang sudah sejak mula diri menginsafi. Betapa pun sebagai terapi, namun sebuah tulisan yang telah dinaikkan darjatnya menjadi sebuah karya yang dikirimkan ke tengah khalayak, perlu pula memberikan sesuatu kepada mereka.

Dalam kata lain, apa yang dituliskan akhirnya sebagai karya bukan lagi hanya sebuah catatan nostagia dan longgokan keluh dan resah seorang penulis. Sesungguhnya, biarlah segala keluh dan segala kesah menjadi milik penulis, namun kepada khalayak, yang diberikan mestilah sesuatu yang dapat mereka jadikan cermin pembanding. Setidaknya, begitu harap penulis, walau tidak sampai menjadikan mereka meratap dan meraung kerana insaf, tetapi tetap juga ada sesuatu yang dapat dikongsi bersama mereka sebagai khlayak mahupun pembaca.

Seperti juga manusia lain yang bukan atau tidak menulis, seorang penulis tetap juga punya hati dan perasaan. Dan, kerana dia menjadi atau memilih untuk menulis, bukan pula bererti dirinya lebih hebat dan bermartabat dari orang lain. Kerana itu, segala yang dirasai, atau jika ada yang mengguris perasaanya, tetaplah sama dengan apa yang dirasai serta dialami oleh orang lain.

Hanya bezanya, betapapun penulis tidak menyenangi dan ingin berteriak menyatakan rasa kurang senang hati dan perasaannya terhadap persekitaran serta perilaku manusia, di dalam tulisan, teriak dan rasa kurang senangnya itu ingin disampaikannya dengan suatu cara lain yang lebih sedikit berseni. Dan, walaupun hasratnya untuk menghasilkan sesuatu yang sedikit lebih berseni itu, mungkin di mata penilaian orang lain, belum tentu sepenuhnya berhasil, tetapi setidaknya, dia berlaku jujur dengan diri dan perasaannya sendiri.

Maksudnya, sebagai penulis dia tidak ingin berlagak atau cuba mempamerkan egonya kepada khalayak yang membaca tulisannya. Di dalam tulisannya, dia hanya ingin menyampaikan segala rasa hati serta perasaannya secara jujur dan berdasarkan kemampuan yang dia miliki. Dia tidak ingin berlagak untuk menunjukkan tebalnya fikiran intelek yang dia miliki dengan menyebut pelbagai istilah dan jargon dari sesuatu yang dikatakan sebagai sumber karya yang berilmu.

Dia hanya ingin berbicara sesuatu yang dekat dengan dirinya dan dunia pembaca. Dia sama sekali tidak tergamak hendak mendustai pembaca bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak tahu atau alami, atau semata-mata kerana ingin dikatakan hebat, maka ditambahkan pelbagai bumbu dan renda istilah atas nama intelek. Sesungguhnya tidak.

Dia hanya ingin bercerita sesuatu yang terlalu biasa dan kerana itulah di dalam karyanya, yang selalu disebut serta diulang-ulang, hanyalah kisah dan peristiwa yang melibatkan manusia yang terlalu biasa. Kisah manusia kecil yang tidak bernama khusus, peristiwa yang terjadi di suatu tempat serta ruang yang seringnya juga tidak bernama khusus.

Nama, watak dan tempat hanyalah sesuatu yang umum. Kerana baginya, apa pun muslihat dan kebejatan yang dilakukan manusia, pelakunya tetaplah serupa dan merangkumi semua. Selagi tetap bernama manusia, selagi itulah dunia ini akan dionari mereka. Dengan pengertian itulah dia memilih bercerita dan menuliskan sesuatu yang melibatkan nama, watak, tempat dan peristiwa secara umum. Dengan cara begini jugalah, dia ingin mengelak menjadi hakim yang begitu mudah menjatuhkan hukum di dalam tulisannnya.

Hasrat dan kesedaran inilah yang melatari penciptaan cerpen “Menanti Buraq” dan cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini. Tiada nama-nama khusus yang besar, tiada peristiwa hebat dan menggamatkan di dalamnya. Semuanya hanyalah sesuatu yang terlalu biasa yang berkisar sekitar orang-orang kecil dan umum.

“Menanti Buraq” dan juga cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini hanya ingin bercerita tentang rasa tidak senang penulis terhadap persekitaran yang menurut hematnya semakin ditulari kebejatan. Namun sebagai penulis dia tidak ingin mempersalahkan keadaan atau pun mana-mana pihak “Menanti Buraq” hanya ingin memaparkan dan bukan berniat menghukum.


Marsli N.O
Ogos 8, 2007

No comments:

Post a Comment