May 20, 2009

PENGANTAR KUMPULAN SAJAK "HANYA KATA"

MELEWATI RESAH DIRI DAN BERTERUS TERANG DENGAN PUISI

TAHUN 1979, tepatnya pada bulan Mei, 1979, merupakan tarikh keramat dalam sejarah kehidupan diri ‘penyair’ saya. Pada tanggal tersebutlah sebuah ‘puisi pendek’ saya berjudul “Harapan” telah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera – sebuah majalah yang bagi saya merupakan gelanggang ujian sebenar buat diri yang sedang ingin jadi ‘penyair’.

Penyiaran puisi pendek tersebut dan kemudiannya disusuli lagi dengan penyiaran puisi berjudul “persahabatan” tujuh bulan kemudiannya dalam majalah yang sama menjadi pendorong kepada saya agar tidak lagi menoleh ke belakang dan lebih gigh menggulati dunia penyair ke belakang dan lebih gigih mengulati dunia penyair yang telah saya pilih itu. Segala keperitan yang menimpa diri bertahun-tahun sebelum ini menjadi sirna, bertukar menjadi suatu kesyahduan yang tidak berkesudahan hujungnya.

Kesyahduan yang tidak berkesudahan hujungnya itu tidaklah pula sampai membuat saya menjadi leka. Atau amat berpuas hati dengan apa-apa yang masih terlalu sedikit saya kecapi. Sering kali saya memaksa diri agar kembali ke masa lalu. Kembali melihat diri, bertahun-tahun sebelum tarikh keramat itu, sekitar tahun 1972 hingga tahun 1976, saat bermulanya ‘niat’ untuk menjadi penyair di dalam diri ini bertunas, yang dilalui adalah saat teramat getir – bergulat menghadapi resah diri – hingga pada suatu waktu tergerak hampir melakukan sesuatu yang amat terlarang.

Sesungguhnya, tiada yang mudah dalam kehidupan ini. Kata perpatah, yang bulat tidak datang mengolek dan pipih tidak datang melayang. Demikianlah dalam merentasi liku-liku perjalanan menapaki dunia penyair yang saya pilih itu. Bagi saya peribadi merupakan gelanggang adu diri sendiri mengulati resah, marah, benci, rindu, dan kecewa sendiri. Sesekali memaksa saya kembali bertanya kepada diri: sesungguhnya apakah yang kuinginkan dari dunia ‘penyair’ dan ‘puisi’ ini? Dan pada saat yang sama merasakan betapa kerdil dan kecilnya diri.

Jelasnya bukanlah nama besar yang saya ingini. Juga tidak kemewahan material. Hanya hasrat atau keinginan untuk ‘berkata-kata’. Dan keinginan itu bertitik mulanya dari dalaman diri.

Pada mulanya, saya tidak menyedari bahawa ada sesuatu yang aneh pada diri ini apabila saya sering merasakan ada sesuatu yang jangkal dalam kehidupan peribadi saya. Entah apakah puncanya. Diri sering berhadapan dengan rasa ‘terasing’ apabila berada di tengah ramai. Seperti rasa malu dan rendah diri. Dan selalu pula merasa amat sulit untuk berbicara seperti adanya – seperti yang dikehendaki oleh manusia-manusia di sekitar diri saya peribadi. Lalu hasilnya terjadilah ‘pertengkaran’ yang kemudiannya saya sedari amat sia-sia dan tidak jarang pula adu-adu fizik yang menyakitkan.

Maka saya memilih menjadi penyendiri. Berada di dunia saya peribadi bercakap dan hanya melihat diri saya sendiri. Dalam kata lain keterasingan saya menjadi total. Pada saat yang bersamaan, saya mencari cara untuk ‘berkata-kata’ kepada orang dan dunia di luar diri saya.

Lalu saya pun menemui ‘puisi’ dan justeru itu juga saya memilih untuk jadi ‘penyair’. Bermula dengan kata yang lahir dari resah diri, sedikit demi sedikit direndakan kian mengzahirkan bentuknya dan, saya namakan ‘puisi’.

Memang, menjadi penyair bukanlah kerja mudah dan demikian juga menukangi sebuah puisi. Lalu dari situlah saya belajar menyekangi resah diri, mewaraskan rasa marah, mesaksamakan rasa benci, mentafsirkan rasa rindu dengan lebih mendalam dan rasa kecewa tidak saya biarkan berleluasan menunggangi perasaan.

Meskipun saya sedar dan mengakui bahawa untuk mencipta sebuah puisi saya perlukan gugahan di gugah oleh resah diri, dilonjakkan oleh marah diri, dihenyak oleh benci diri, dibuat oleh rindu diri dan disakiti oleh kecewa diri – tetapi sebuah puisi yang sesungguhnya bagi saya bukan cuma bukan terbina oleh unsur-unsur atau elemen-elemen tersebut. Sebaliknya dituntut amat agar segalanya dicerna, disaring dan dimatangkan terlebih dahulu sebelum dizahirkan sebagai sebuah puisi.

Lantaran itu, saya tidak mahu menjadi ‘kilang’. Hal ini disebabkan daripada sebuah puisi ke sebuah puisi yang lain, saya terpaksa lama berkelana, berhujah dan belajar mewaraskannya.

Dalam proses penciptaan sesebuah puisi, sering juga saya berhadapan dengan hadangan-hadangan. Sering saya tiba pada suatu ‘tembok’ yang rasanya saya tidak mungkin lagi mengheret-heret dan merendah-rendahkan kata sepanjang mungkin yang boleh. Sering muncul pertanyaan dalam diri: untuk apakah sesungguhnya saya berterusan cuba berbuat demikian.

Lalu saya menarik kesimpulan, itu pula setelah menyedari bahawa dalam upaya untuk ‘berkata-kata’ saya sesungguhnya telah memilih dibawah sedar saya untuk berbicara seringkas dan sepadat yang mungkin. Atau dalam kata lain, berbicara seada-adanya saja. Dalam hal ini, memang ada yang bertanya: kenapa puisi-puisi saya ringkas dan pendek – bagaikan masih ada yang tidak diselesaikan?

Untuk menjawab pertanyaan itu, saya kembali pula mengajukan pertanyaan: saudara, sudah berapa banyak jawapan tentang hidup ini yang saudara temui?

Rasa saya tidak banyak. Apa yang bakal terjadi besok tidak dapat kita pastikan secara tepat dan sejelas-jelasnya. Kecuali hanyalah harapan, doa dan serentetan tanda soal.

Lantaran itu, berdosakan seseorang yang tidak menyediakan kepastian di dalam puisinya? Atau memang tololkah dia?

Maka begitulah. ‘Kata-kata’ saya didalam sebuah puisi hanyalah pertanyaan dan bukannya jawapan. Saya sedari, untuk bertanya dari diiri peribadi dituntut amat sikap berani berterus-terang dalam segala-galanya. Justeru saya menerima kenyataan bahawa sebuah puisi masih tetap sebuah puisi – perang, perkosaan, ketidak adilan, pemerasan akan tetap berlansung terus. Sebuah puisi juga, sekadar mampu bertanya: kenapa dan kenapa. Dari abad ke abad yang lain, dari hujung benua ke hujung benua yang lain, pertanyaan itu akan terus berkumandang.

Sebagai kesimpulan, dengan puisi, ‘kata-kata’ yang saya lontarkan kepada khalayak sebenarnya adalah pertanyaan untuk diri saya peribadi. Dari situlah saya melihat hakikat diri saya peribadi dan belajar menjadi manusia yang lebih berpendirian. Tidak mudah menerima dan menerima sesuatu semata-mata kerana bujukan-bujukan tanpa terlebih dahulu disaring serta diteliti sedalam dan semasak-masaknya dari segenap segi.

Saya sentiasa sedar, untuk menjadi penyair tidak memadai dengan hanya bersenjatakan sensitiviti – sesuatu yang dipercayai kononnya melimpahkan banyak ilham bagi diri peribadi seseorang penyair. Bagi saya, diri ‘penyair’ yang hanya mengandalkan dirinya dan percaya penuh kepada sensitiviti lama kelamaan akan menjadi kosong. Agar tidak menjadi kosong, diri seseorang penyair perlulah mengisi dirinya, (di samping sensitiviti dan pengamatan yang tajam) dengan memiliki apa yang saya namai ‘ilmu luar’ dan ‘ilmu dalam’.

II

Jadi puisi bagi saya adalah alat untuk saya berkata-kata. Dan sekali gus ‘bertanya’ kepada orang dan dunia di luar diri saya. Hal ini juga didorong oleh hasrat dan keinginan untuk melihat dunia putih milik kita semua ini, tidak dijadikan gelanggang laga dan kuasa tidak pula dijadikan panglima.

Dengan puisi saya meluahkan semua rasa yang bergulat dalam diri peribadi, yang lahir dari rasa insaf, sengsara dan berani terhadap hidup sehari-hari yang didepani.

Lebih jelas lagi, saya sesungguhnya ingin berterus-terang dengan puisi.

Tetapi pada saat manusia semakin ghairah menjadi mesin, berterus terang telah menjadi perbuatan terlarang dan harus pula didepani dengan risiko. Dan disini jugalah peribadi penyair mesti memilih. Antara ikut menjadi mesin atau menegakan pendirian penyairnya. Antara bahagia yang sementara atau tegak untuk berterus terang – terbentang suatu lorong yang dinamakan pilihan.

Bagi saya peribadi, saya memilih untuk berterus-terang. Dan dengan berterus-terang, saya tidak ingin menjadi tukang khutbah. Atau merasakan bahawa sebagai seorang penyair saya lebih penting daripada orang yang bukan penyair. Ia tidak sama sekali. Apalagi untuk meletakan diri ini sebagai wali atau keramat. Yang penting hanyalah ‘berkata-kata’ dan cukup sekadar itu.

Demikianlah, dalam upaya untuk berterus terang, saya telah memilih untuk tidak terlalu banyak memperguna renda-renda di dalam puisi saya. Bagi saya, renda-renda yang keterlaluan tidak lebih hanyalah mahu mengelabui mata khalayak serta melindungi kelemahan diri dan peribadi puisi itu sendiri. Dan untuk berterus terang juga saya merasakan tidak perlu berbicara panjang-panjang, sebaliknya cukuplah sekadar apa yang adanya. Begitu juga, saya menyerahkan puisi-puisi saya kepada khalayak – membiar dan merelakan mereka bebas mentafsir atau menanggapinya. Sekiranya ada khalayak yang merasakan ada puisi-puisi saya yang perlu dihumbankan jauh-jauh lewat tingkap kereta api selepas menikmatinya, saya juga merasa sangat puas. Dengan begitu, terhasil sudah apa yang dikatakan ‘erti kemualan hidup’ daripada puisi-puisi pendek saya!

Cara atau katakanlah ini gaya saya, bukanlah saya ambil dari daerah asing, tetapi dari sesuatu yang bagi saya peribadi terasa lebih akrab iaitu seloka, perumpamaan dan gurindam yang telah berabad-abad menjadi milik warisan bangsa Melayu saya. Apa yang saya ambil bukalah bentuknya secara menyeluruh, sebaliknya inti dan rohnya. Hal ini tidak perlu bereti saya memusuhi apa yang dikatakan sebagai ‘puisi bernafas panjang’, sebaliknya sebagai insane seni, yang saya harapkan usahlah kita bersempitkan lingkup dan ruang untuk berbicara hanya menjurus ke satu arah.

Lalu kerana hanya dengan ‘kata’ saya ‘berkata-kata’, maka biaralah kata didalam puisi-puisi saya yang berkata-kata.

Maka catatan pendek saya ini, saya akhiri dengan sebuah puisi yang pendek, judulnya “hanya kata”:
Seperti kabus di kaca
Sebelum pagi
Menjulurkan pucuknya
Atau cakar di pasir
Sebelum laut pasang
Cuma sementara.

Demikianlah hakikat ‘kata-kata’….


Marsli N.O ,
17 Mei 1992

No comments:

Post a Comment