December 19, 2009

KEPADA ANGIN JUGA : KUMPULAN SAJAK MARSLI N.O

KUMPULAN sajak “Kepada Angin Juga” ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ada tahun 2008. Kumpulan sajak setebal 138 halaman yang dibahagikan kepada dua bahagian ini memuatkan 119 sajak.

Bahagian pertama, “Kepada Angin Juga” memuatkan 70 sajak. Sajak-sajak di bahagian pertama ini agak pendek dan berkisar di seputar soal kerinduan yang ditempoh penyair dalam kembara peribadinya. Namun begitu, kerinduan yang diucapkan penyair sifatnya lebih berupakan renungan dan mempertanyakan kembali makna rindu, sunyi, rasa terasing dan cinta seorang manusia.

“Buku Sejarah” merupakan judul bagi bahagian kedua kumpulan sajak ini. Berbeza dengan bahagian pertama, sajak-sajak di bahagian ini berbentuk naratif dan agak lebih lebih panjang. Persoalan utama yang dipaparkan penyair adalah seputar soal perdamaian dan secara tidak langsng memprotes sikap kalangan yang sewenangan memperkosa hak asasi sesama manusia.

Pelawat blog ini dan juga pembaca yang lain sila dapatkan kumpulan cerpen ini di kedai-kedia buku yang menjual terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur atau di pasaran.

Atau boleh juga dipesan langsung ke alamat penulisnya jika ingin mendapatkan tandatangan penulis dengan cara mengirimkan wangpos atas nama RAMLI BIN SELAMAT wang pos RM20 (RM18 harga buku + RM2 ongkos pos) atas nama RAMLI BIN SELAMAT ke alamat surat menyurat penulis. Simpan keratan wangpos untuk tuntutan semula sekiranya kiriman tidak diterima oleh pemesan.

Pesanan boleh juga dilangsungkan dengan memasukkan jumlah RM yang sama ke akaun MAYBANK penulis dengan menghubungi MARSLI N.O lewat email: marslino@yahoo.com

PROSES KREATIF “KEPADA ANGIN JUGA"

PENGAKUAN DAN KESAKSIAN SEORANG PENYAIR

1
SEGALANYA
bermula ketika berada di Manila ketika menghadiri Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) di Manila dari 27 Januari hingga 3 Februari, 1995

Melihat persekitaran yang baru dan asing, juga melihat bagaimana di belahan dunia lain masih ada manusia yang bergelut semata-mata hanya untuk secuil ruang merebahkan tubuhnya di kala malam semakin memanjang, atau hanya tidur berbumbungkan langit, bertalu tanya menerjahi dalaman diri dan sekaligus menggoda air mata supaya tumpah.

Tetapi ternyata bersendirian di kota Manila selama seminggu meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

Air mata tidak semata-mata tumpah kerana sedih yang mendatangi jiwa di saat hati dilanda rawan melihat manusia yang sama warna kulitnya bertarung demi hidup.

Sebaliknya, ada waktunya, ketika diri berasakan jauh dari sesuatu yang dicintai dan sekaligus berasa rindu dan terasing sunyi, terasa ada juga air mata yang telah tumpah.

Kesan peristiwa dan gelora jiwa inilah yang melatari sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Kepada Angin Juga” di dalam kumpulan ini.

Kemudiannya, setelah berbulan kembali ke tanah air, kesan dan rasa ini tetap juga merongrong diri. Kerana itu, ketika menciptakan sejumlah besar sajak-sajak, selain bertolak dari catatan asli di Manila, gerak dan rasa perasaan itu juga turut menjadi penggerak.

Alasannya, sejujur mungkin, saya berusaha mengucapkan kembali segala ketumpahan itu -- dengan air mata yang tidak selalu menitis, tetapi telah tertitis juga akhirnya.

Melalui sajak-sajak yang dikumpulkan di bawah judul kecil ini, saya juga secara tidak langsung cuba memaparkan betapa ada banyak cara manusia ingin menyatakan insaf dirinya.

Bertamsil dari kejadian, peristiwa atau fenomena alam. Malah dengan analogi rindu, cinta, resah dan amarah. Walau jawab yang ditemui tidak semestinya penawar segala lara di dalam jiwa, setidaknya, kita manusia belajar menjadi manusia yang lebih penyabar menghadapi segala duga.

Walau segalanya kembali kepada angin juga, dan kesal tetap juga terasa, namun kita akhirnya menjadi insan lebih pemaaf dan merelakan segala rasa kecewa serta kesedihan -- tetapi juga di saat gembira atau kerana rasa rindu dan terasing.

Kumpulan sajak ini tidak lain adalah suatu catatan dari bahagian yang lain dari kehidupan kesenimanan saya sebagai seorang penyair.

2
SEBUAH
puisi tidak lain hanyalah alat. Alat bagi seorang penyair. Tetapi tidak bererti “tukul” atau “kapak”.

Sebaliknya, sebagai alat bagi seorang penyair, sebuah puisi adalah sebuah “kenderaan”. Sebuah kenderaan yang membantu penyair bergerak serta membawa diri-nya mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya.

Dan oleh kerana penyair juga adalah warga sah bagi sebuah alam luas bernama dunia, maka sikap hidup, pengertian serta reaksi-reaksi yang diberikannya sebagai seorang penyair juga secara langsung berhubung erat dengan segala macam soal yang berhubungan dengannya - dari soal yang sangat sepele atau tetek-bengik hinggalah kepada yang paling me-nyentuh hati nurani manusia yang masih belum tersunglap mata batinnya menjadi Boragas.

Memang, dalam dunia yang semakin mengkiblatkan benda ini, nilai sebuah puisi, yang sifatnya lebih mendekati alam kerohanian atau bawah sedar manusia, serta nilai-nilai pemikiran lain yang natijah utamanya tidak meletakkan tolak ukur keuntungan hanya pada zahirnya semata-mata; puisi semakin menjadi penyebab untuk dipersoalkan.

Namun, biar apa pun sikap atau kepercayaan lain yang cuba dipaksakan ke atas tubuh puisi atau penyairnya, tanpa sebarang rasa takut, nyeri, malu atau ingin bermusuhan, penyair tetap tegak berdiri dengan keyakinannya sendiri. Tetap saja membawa dirinya mengembara dan terus mengembara mencari makna hidup diri, dunia serta persekitarannya — melalui “kenderaan” puisi.

Lewat pengembaraan-pengembaraan inilah, penyair akhirnya, meskipun tidak sepenuhnya menemukan jawapan, tetapi setidak-tidaknya memberikan semacam kesaksian. Kesaksian terhadap apa yang telah ditempuh atau didepaninya di- sepanjang riwayat hidupnya di tanah luas bernama dunia ini.

Kesaksian bahawa sebagai salah sebatang tubuh bernama manusia, dia sudah pun menunaikan apa yang perlu dia tunaikan. Kesaksian yang dia tunai dan ucapkan dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab lewat kata-kata.

Dan tentu saja juga, dengan kepercayaan bahawa kesaksian yang diucapkannya itu, kalau pun tidak sepenuhnya, jika sedikit dapat dikongsi bersama sesiapa saja yang menjadi khalayak puisinya, pun sudah memadai.

Dengan harapan yang sedemikian jugalah penyair tidak pernah merasa letih dan jemu meneruskan pengembaraannya. Dan memang, sebagai penyair dia terlalu banyak menyimpan harapan. Harapan untuk melihat tanah indah dan permai bernama dunia ini tidak berterusan dicakar cemar lantaran hadirnya beberapa hati yang memiliki sifat haloba.

Betapa pun dikatakan sebahagian orang bahawa tanah luas yang bernama dunia ini semakin galau dan tidak punya tempat lagi untuk segala macam harapan, namun bagi seorang penyair, harapan itulah yang memberikan dia kekuatan dan tetap mengentalkan rasa percayanya terhadap hidup dan rasa cinta terhadap tanah air tercintanya.

Kerana dia percaya, apa pun sekali bentuk keserakahan atau pun pemerkosaan, segalanya itu pasti akan berakhir juga sudahnya. Dan untuk itu, sejarah tidak pernah berbohong!

3
DENGAN
kesedaran dan harapan yang sedemikianlah puisi-puisi yang dikumpulkan di bawah judul kecil “Buku Sejarah” di dalam kumpulan ini sebahagian besarnya ditulis.

Ditulis dengan rasa cinta yang tidak berbelah bagi untuk dunia dan negerinya dan sekaligus juga sebagai suatu kesaksian penyair terhadap diri, dunia serta persekitarannya.

Sebagai suatu kesaksian bahawa penyair telah dan pernah hidup di tengah segala macam denyut peristiwa serta menjadi larut di dalamnya secara batiniah dan merakamkannya kembali lewat kata-kata.

Namun, dalam proses merakam dan memberikan kesaksian itu, penyair tetap menyedari betapa peranannya sebagai penyair tidaklah lebih mulia daripada sesiapa saja yang bukan penyair. Dan kerana itu jugalah, dia mengelak untuk menjadi seorang penghukum.

Sebagai penyair, kesaksian hidupnya tidak lain hanyalah terhadap kata-kata dan rasa percaya yang penuh lagi tinggi terhadap kebenaran dan sejarah yang tidak pernah berbohong.

Kerana itulah dia tetap dan terus menyair!

MARSLI N.O

December 18, 2009

MENANTI BURAQ

KUMPULAN cerpen ketiga Marsli N.O ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2008. Memuatkan 27 cerpen Marsli N.O yang ditulis di antara rentang waktu 1989 hingga 2001 yang sebahagian besarnya pernah disiarkan di majalah dan akhbar seperti Dewan Sastera, Era, Dewan Budaya, Fantasi, Dakwah, Watan, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Bacaria dan Utusan Zaman.

Sebelum ini, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah menerbitkan kumpulan cerpen hasil karya Marsli N.O berjudul “Biduan” (1994) dan “Demi” (1998). Selain itu, secara persendirian Marsli N.O juga menerbitkan kumpulan cerpen “Penipu” yang memuatkan 8 cerita pendek pada tahun 1997.

Kebanyakan cerpen di dalam kumpulan cerpen ini secara intinya memaparkan persaoalan di sekitar pemimpin dan kepimpinanan. Pemimpin sebagai protoganis atau antoganis bergerak seiring dan menjadi bahan perbincangan yang tidak pernah selesai. Walau bagaimana pun tiada hukum atau penentuan hitam putih yang diberikan. Segalanya diserahkan kepada pembaca untuk menilai dan menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.

Lantaran ini jugalah barangkali blurb di bahagian kulit belakang kumpulan cerpen ini mencatatkan: “Cerpen yang terungkap dalam kumpulan cerpen ini membicarakan isu tentang pemimpin dan kepimpinan. Mesej yang diketengahkan oleh pengarang akan merangsang minda pembaca untuk menilai pemimpin yang baik atau di sebaliknya. Pendekatan psikoanalisis diterapkan dalam cerpen untuk menganilisis perasaan dalaman diri watak utama iaiatu pemimpin yang gagal atau menyalahguna kuasa semasa diberi tanggungjawab sebagai pemimpin.”

Pelawat blog ini dan juga pembaca yang lain sila dapatkan kumpulan cerpen ini di kedai-kedia buku yang menjual terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur atau di pasaran.Atau boleh juga dipesan langsung ke alamat penulisnya jika ingin mendapatkan tandatangan penulis dengan cara mengirimkan wangpos atas nama RAMLI BIN SELAMAT wang pos RM30 (RM28 harga buku + RM2 ongkos pos) atas nama RAMLI BIN SELAMAT ke alamat surat menyurat penulis. Simpan keratan wangpos untuk tuntutan semula sekiranya kiriman tidak diterima oleh pemesan.

Pesanan boleh juga dilangsungkan dengan memasukkan jumlah RM yang sama ke akaun MAYBANK penulis dengan menghubungi MARSLI N.O lewat email: marslino@yahoo.com

PENGANTAR KUMPULAN CERPEN “MENANTI BURAQ”

KENAPA “MENANTI BURAQ”

DI TENGAH dunia yang semakin menjadi sebok dan bising dengan pelbagai onar ini, manusia mahu tidak mahu perlu menentukan sikap dan pilihan hidupnya. Tentu sahaja, memilih untuk menghindar jauh adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Apa lagi untuk menyalahkan keadaan.

Di antara dua atau kalau pun ada, sekian banyak pilihan, sikap dan pilihan yang diambil dan dibuat itulah nanti akan menentukan ke arah mana manusia akan melangkah. Apakah sama mahu menjadi boragas yang kejam dan tega berbuat apa sahaja demi perut dan nafsu, atau memilih terus mengekalkan rasa dan jiwa manusia di dalam dirinya, dan pada waktu yang sama tidak melihat dunia ini sebagai penoh dengan kebejatan semata-mata.

Tentu sahaja tidak terlalu mudah untuk mengelak apa lagi memilih. Namun apa yang hendak dikatakan lagi. Inilah namanya hidup: duga dan cabar selalu menanti. Kerana duga dan cabar ini jugalah, tidak sedikit manusia yang kurang mampu mempertahankan kedirian dan kemanusiaannya, serta bergerak dan bernafas hanya dengan jiwanya yang kosong, menjadi tewas dan melebur bersama keadaan.

Atau dalam kata lain, kerana kurang memiliki daya untuk bertahan, jiwanya mudah mengalami goncangan dan sebagai pelarian, diseretnya diri yang nyata untuk berhalusinasi ke alam bukan nyata. Lalu musnahlah sudah segala kenormalan dirinya, sehingga tidak dapat lagi membezakan di antara yang nyata dengan khayalan, atau sesuatu yang cuma kilas dan bayang dengan sesuatu yang memang berwujud nyata.

Ternyata manusia itu, betapa pun berasa hebat dan kuatnya diri sendiri, tetap memerlukan sesuatu yang lain di dalam jiwanya. Keperluan jiwanya itu tidak lain adalah kepercayaan yang kukuh berlandaskan agama, yang dengan sepenuh hatinya mempercayai bahawa Tuahnnnya hanya satu dan kepada Dialah tempat diri sebagai manusia akan mengadu dan kembali.

Dengan kepercayaan yang demikian sahajalah, di dunia yang semakin sebok dan bising ini, diri manusia tidak mudah menjadi goyah atau menjadi lebur bersama keadaan. Betapa pun dirinya sesekali dihenyak oleh sekian jumlah peristiwa, atau berdepan dengan tingkah manusia yang memualkan, kepercayaan dan rasa yakinnya terhadap agama selalu akan mengajak dirinya kembali ke jalan yang lurus.

Dengan kepercayaan dan rasa yakin itu juga, dirinya mengakaui betapa segala sesuatu itu tetaplah berpasang-pasangan. Seperti hadirnya siang yang digilirkan dengan malam, begitu juga jika adanya kebejatan, pasti akan ada pula sejumlah kebaikan.

Kepercayaan, keyakinan yang kental dan kukuh terhadap agamanya, juga menjadi pengubat segala lara manusia ketika mendepani segala peristiwa atau kebejatan manusia. Dan bagi seorang penulis, segala peristiwa, menjadi tempat dirinya bercermin melihat dirinya sendiri.

Betapa pun tidak mudah melepaskan rasa sesal dan kecewa, namun tetap diterima betapa inilah namanya kenyataan. Malah sebagai penulis, apa yang dituliskannya itu, pada mulanya, tidak lain hanyalah terapi pengubat duka dan lara sendiri. Kerana itulah selalu dicari dan didambakan ruang, walau barang sekejap untuk bersendirian serta menyepi.

Di saat bersendirian di suatu ruang dan sedikit menjauh dari kebisingan begitulah diri kembali merenung serta menelusur ke dalam diri. Niatnya tidak lain, agar sentiasa menjadi manusia insaf dan jika perlu, dapat kembali bangkit dan melawan segala henyak dan duga hidup. Setelah itu, segala insaf dan semangat diri, dituangkan ke dalam tulisan dan dilanjutkan pula menjadi sebuah karya.

Memang sudah sejak mula diri menginsafi. Betapa pun sebagai terapi, namun sebuah tulisan yang telah dinaikkan darjatnya menjadi sebuah karya yang dikirimkan ke tengah khalayak, perlu pula memberikan sesuatu kepada mereka.

Dalam kata lain, apa yang dituliskan akhirnya sebagai karya bukan lagi hanya sebuah catatan nostagia dan longgokan keluh dan resah seorang penulis. Sesungguhnya, biarlah segala keluh dan segala kesah menjadi milik penulis, namun kepada khalayak, yang diberikan mestilah sesuatu yang dapat mereka jadikan cermin pembanding. Setidaknya, begitu harap penulis, walau tidak sampai menjadikan mereka meratap dan meraung kerana insaf, tetapi tetap juga ada sesuatu yang dapat dikongsi bersama mereka sebagai khlayak mahupun pembaca.

Seperti juga manusia lain yang bukan atau tidak menulis, seorang penulis tetap juga punya hati dan perasaan. Dan, kerana dia menjadi atau memilih untuk menulis, bukan pula bererti dirinya lebih hebat dan bermartabat dari orang lain. Kerana itu, segala yang dirasai, atau jika ada yang mengguris perasaanya, tetaplah sama dengan apa yang dirasai serta dialami oleh orang lain.

Hanya bezanya, betapapun penulis tidak menyenangi dan ingin berteriak menyatakan rasa kurang senang hati dan perasaannya terhadap persekitaran serta perilaku manusia, di dalam tulisan, teriak dan rasa kurang senangnya itu ingin disampaikannya dengan suatu cara lain yang lebih sedikit berseni. Dan, walaupun hasratnya untuk menghasilkan sesuatu yang sedikit lebih berseni itu, mungkin di mata penilaian orang lain, belum tentu sepenuhnya berhasil, tetapi setidaknya, dia berlaku jujur dengan diri dan perasaannya sendiri.

Maksudnya, sebagai penulis dia tidak ingin berlagak atau cuba mempamerkan egonya kepada khalayak yang membaca tulisannya. Di dalam tulisannya, dia hanya ingin menyampaikan segala rasa hati serta perasaannya secara jujur dan berdasarkan kemampuan yang dia miliki. Dia tidak ingin berlagak untuk menunjukkan tebalnya fikiran intelek yang dia miliki dengan menyebut pelbagai istilah dan jargon dari sesuatu yang dikatakan sebagai sumber karya yang berilmu.

Dia hanya ingin berbicara sesuatu yang dekat dengan dirinya dan dunia pembaca. Dia sama sekali tidak tergamak hendak mendustai pembaca bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak tahu atau alami, atau semata-mata kerana ingin dikatakan hebat, maka ditambahkan pelbagai bumbu dan renda istilah atas nama intelek. Sesungguhnya tidak.

Dia hanya ingin bercerita sesuatu yang terlalu biasa dan kerana itulah di dalam karyanya, yang selalu disebut serta diulang-ulang, hanyalah kisah dan peristiwa yang melibatkan manusia yang terlalu biasa. Kisah manusia kecil yang tidak bernama khusus, peristiwa yang terjadi di suatu tempat serta ruang yang seringnya juga tidak bernama khusus.

Nama, watak dan tempat hanyalah sesuatu yang umum. Kerana baginya, apa pun muslihat dan kebejatan yang dilakukan manusia, pelakunya tetaplah serupa dan merangkumi semua. Selagi tetap bernama manusia, selagi itulah dunia ini akan dionari mereka. Dengan pengertian itulah dia memilih bercerita dan menuliskan sesuatu yang melibatkan nama, watak, tempat dan peristiwa secara umum. Dengan cara begini jugalah, dia ingin mengelak menjadi hakim yang begitu mudah menjatuhkan hukum di dalam tulisannnya.

Hasrat dan kesedaran inilah yang melatari penciptaan cerpen “Menanti Buraq” dan cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini. Tiada nama-nama khusus yang besar, tiada peristiwa hebat dan menggamatkan di dalamnya. Semuanya hanyalah sesuatu yang terlalu biasa yang berkisar sekitar orang-orang kecil dan umum.

“Menanti Buraq” dan juga cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini hanya ingin bercerita tentang rasa tidak senang penulis terhadap persekitaran yang menurut hematnya semakin ditulari kebejatan. Namun sebagai penulis dia tidak ingin mempersalahkan keadaan atau pun mana-mana pihak “Menanti Buraq” hanya ingin memaparkan dan bukan berniat menghukum.


Marsli N.O
Ogos 8, 2007

May 20, 2009

HANYA KATA

KUMPULAN yang memuatkan 80 sajak ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1995, di tengah-tengah kehebohan isu penerbitan karya penulis muda yang di war-warkan oleh beberapa nama dan tokoh penulis muda yang konon berasa tidak diperlakukan adil oleh pihak berwenang sastera tanah air.

Kumpulan sajak setebal 88 halaman ini berada di pasaran dengan harga RM 6.00.

Penyair Marsli N.O menuliskan sendiri kata pengantar atau pengenalan untuk kumpulan sajak keduanya (kumpulan sajak pertama kategori umum/dewasa) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini.

PENGANTAR KUMPULAN SAJAK "HANYA KATA"

MELEWATI RESAH DIRI DAN BERTERUS TERANG DENGAN PUISI

TAHUN 1979, tepatnya pada bulan Mei, 1979, merupakan tarikh keramat dalam sejarah kehidupan diri ‘penyair’ saya. Pada tanggal tersebutlah sebuah ‘puisi pendek’ saya berjudul “Harapan” telah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera – sebuah majalah yang bagi saya merupakan gelanggang ujian sebenar buat diri yang sedang ingin jadi ‘penyair’.

Penyiaran puisi pendek tersebut dan kemudiannya disusuli lagi dengan penyiaran puisi berjudul “persahabatan” tujuh bulan kemudiannya dalam majalah yang sama menjadi pendorong kepada saya agar tidak lagi menoleh ke belakang dan lebih gigh menggulati dunia penyair ke belakang dan lebih gigih mengulati dunia penyair yang telah saya pilih itu. Segala keperitan yang menimpa diri bertahun-tahun sebelum ini menjadi sirna, bertukar menjadi suatu kesyahduan yang tidak berkesudahan hujungnya.

Kesyahduan yang tidak berkesudahan hujungnya itu tidaklah pula sampai membuat saya menjadi leka. Atau amat berpuas hati dengan apa-apa yang masih terlalu sedikit saya kecapi. Sering kali saya memaksa diri agar kembali ke masa lalu. Kembali melihat diri, bertahun-tahun sebelum tarikh keramat itu, sekitar tahun 1972 hingga tahun 1976, saat bermulanya ‘niat’ untuk menjadi penyair di dalam diri ini bertunas, yang dilalui adalah saat teramat getir – bergulat menghadapi resah diri – hingga pada suatu waktu tergerak hampir melakukan sesuatu yang amat terlarang.

Sesungguhnya, tiada yang mudah dalam kehidupan ini. Kata perpatah, yang bulat tidak datang mengolek dan pipih tidak datang melayang. Demikianlah dalam merentasi liku-liku perjalanan menapaki dunia penyair yang saya pilih itu. Bagi saya peribadi merupakan gelanggang adu diri sendiri mengulati resah, marah, benci, rindu, dan kecewa sendiri. Sesekali memaksa saya kembali bertanya kepada diri: sesungguhnya apakah yang kuinginkan dari dunia ‘penyair’ dan ‘puisi’ ini? Dan pada saat yang sama merasakan betapa kerdil dan kecilnya diri.

Jelasnya bukanlah nama besar yang saya ingini. Juga tidak kemewahan material. Hanya hasrat atau keinginan untuk ‘berkata-kata’. Dan keinginan itu bertitik mulanya dari dalaman diri.

Pada mulanya, saya tidak menyedari bahawa ada sesuatu yang aneh pada diri ini apabila saya sering merasakan ada sesuatu yang jangkal dalam kehidupan peribadi saya. Entah apakah puncanya. Diri sering berhadapan dengan rasa ‘terasing’ apabila berada di tengah ramai. Seperti rasa malu dan rendah diri. Dan selalu pula merasa amat sulit untuk berbicara seperti adanya – seperti yang dikehendaki oleh manusia-manusia di sekitar diri saya peribadi. Lalu hasilnya terjadilah ‘pertengkaran’ yang kemudiannya saya sedari amat sia-sia dan tidak jarang pula adu-adu fizik yang menyakitkan.

Maka saya memilih menjadi penyendiri. Berada di dunia saya peribadi bercakap dan hanya melihat diri saya sendiri. Dalam kata lain keterasingan saya menjadi total. Pada saat yang bersamaan, saya mencari cara untuk ‘berkata-kata’ kepada orang dan dunia di luar diri saya.

Lalu saya pun menemui ‘puisi’ dan justeru itu juga saya memilih untuk jadi ‘penyair’. Bermula dengan kata yang lahir dari resah diri, sedikit demi sedikit direndakan kian mengzahirkan bentuknya dan, saya namakan ‘puisi’.

Memang, menjadi penyair bukanlah kerja mudah dan demikian juga menukangi sebuah puisi. Lalu dari situlah saya belajar menyekangi resah diri, mewaraskan rasa marah, mesaksamakan rasa benci, mentafsirkan rasa rindu dengan lebih mendalam dan rasa kecewa tidak saya biarkan berleluasan menunggangi perasaan.

Meskipun saya sedar dan mengakui bahawa untuk mencipta sebuah puisi saya perlukan gugahan di gugah oleh resah diri, dilonjakkan oleh marah diri, dihenyak oleh benci diri, dibuat oleh rindu diri dan disakiti oleh kecewa diri – tetapi sebuah puisi yang sesungguhnya bagi saya bukan cuma bukan terbina oleh unsur-unsur atau elemen-elemen tersebut. Sebaliknya dituntut amat agar segalanya dicerna, disaring dan dimatangkan terlebih dahulu sebelum dizahirkan sebagai sebuah puisi.

Lantaran itu, saya tidak mahu menjadi ‘kilang’. Hal ini disebabkan daripada sebuah puisi ke sebuah puisi yang lain, saya terpaksa lama berkelana, berhujah dan belajar mewaraskannya.

Dalam proses penciptaan sesebuah puisi, sering juga saya berhadapan dengan hadangan-hadangan. Sering saya tiba pada suatu ‘tembok’ yang rasanya saya tidak mungkin lagi mengheret-heret dan merendah-rendahkan kata sepanjang mungkin yang boleh. Sering muncul pertanyaan dalam diri: untuk apakah sesungguhnya saya berterusan cuba berbuat demikian.

Lalu saya menarik kesimpulan, itu pula setelah menyedari bahawa dalam upaya untuk ‘berkata-kata’ saya sesungguhnya telah memilih dibawah sedar saya untuk berbicara seringkas dan sepadat yang mungkin. Atau dalam kata lain, berbicara seada-adanya saja. Dalam hal ini, memang ada yang bertanya: kenapa puisi-puisi saya ringkas dan pendek – bagaikan masih ada yang tidak diselesaikan?

Untuk menjawab pertanyaan itu, saya kembali pula mengajukan pertanyaan: saudara, sudah berapa banyak jawapan tentang hidup ini yang saudara temui?

Rasa saya tidak banyak. Apa yang bakal terjadi besok tidak dapat kita pastikan secara tepat dan sejelas-jelasnya. Kecuali hanyalah harapan, doa dan serentetan tanda soal.

Lantaran itu, berdosakan seseorang yang tidak menyediakan kepastian di dalam puisinya? Atau memang tololkah dia?

Maka begitulah. ‘Kata-kata’ saya didalam sebuah puisi hanyalah pertanyaan dan bukannya jawapan. Saya sedari, untuk bertanya dari diiri peribadi dituntut amat sikap berani berterus-terang dalam segala-galanya. Justeru saya menerima kenyataan bahawa sebuah puisi masih tetap sebuah puisi – perang, perkosaan, ketidak adilan, pemerasan akan tetap berlansung terus. Sebuah puisi juga, sekadar mampu bertanya: kenapa dan kenapa. Dari abad ke abad yang lain, dari hujung benua ke hujung benua yang lain, pertanyaan itu akan terus berkumandang.

Sebagai kesimpulan, dengan puisi, ‘kata-kata’ yang saya lontarkan kepada khalayak sebenarnya adalah pertanyaan untuk diri saya peribadi. Dari situlah saya melihat hakikat diri saya peribadi dan belajar menjadi manusia yang lebih berpendirian. Tidak mudah menerima dan menerima sesuatu semata-mata kerana bujukan-bujukan tanpa terlebih dahulu disaring serta diteliti sedalam dan semasak-masaknya dari segenap segi.

Saya sentiasa sedar, untuk menjadi penyair tidak memadai dengan hanya bersenjatakan sensitiviti – sesuatu yang dipercayai kononnya melimpahkan banyak ilham bagi diri peribadi seseorang penyair. Bagi saya, diri ‘penyair’ yang hanya mengandalkan dirinya dan percaya penuh kepada sensitiviti lama kelamaan akan menjadi kosong. Agar tidak menjadi kosong, diri seseorang penyair perlulah mengisi dirinya, (di samping sensitiviti dan pengamatan yang tajam) dengan memiliki apa yang saya namai ‘ilmu luar’ dan ‘ilmu dalam’.

II

Jadi puisi bagi saya adalah alat untuk saya berkata-kata. Dan sekali gus ‘bertanya’ kepada orang dan dunia di luar diri saya. Hal ini juga didorong oleh hasrat dan keinginan untuk melihat dunia putih milik kita semua ini, tidak dijadikan gelanggang laga dan kuasa tidak pula dijadikan panglima.

Dengan puisi saya meluahkan semua rasa yang bergulat dalam diri peribadi, yang lahir dari rasa insaf, sengsara dan berani terhadap hidup sehari-hari yang didepani.

Lebih jelas lagi, saya sesungguhnya ingin berterus-terang dengan puisi.

Tetapi pada saat manusia semakin ghairah menjadi mesin, berterus terang telah menjadi perbuatan terlarang dan harus pula didepani dengan risiko. Dan disini jugalah peribadi penyair mesti memilih. Antara ikut menjadi mesin atau menegakan pendirian penyairnya. Antara bahagia yang sementara atau tegak untuk berterus terang – terbentang suatu lorong yang dinamakan pilihan.

Bagi saya peribadi, saya memilih untuk berterus-terang. Dan dengan berterus-terang, saya tidak ingin menjadi tukang khutbah. Atau merasakan bahawa sebagai seorang penyair saya lebih penting daripada orang yang bukan penyair. Ia tidak sama sekali. Apalagi untuk meletakan diri ini sebagai wali atau keramat. Yang penting hanyalah ‘berkata-kata’ dan cukup sekadar itu.

Demikianlah, dalam upaya untuk berterus terang, saya telah memilih untuk tidak terlalu banyak memperguna renda-renda di dalam puisi saya. Bagi saya, renda-renda yang keterlaluan tidak lebih hanyalah mahu mengelabui mata khalayak serta melindungi kelemahan diri dan peribadi puisi itu sendiri. Dan untuk berterus terang juga saya merasakan tidak perlu berbicara panjang-panjang, sebaliknya cukuplah sekadar apa yang adanya. Begitu juga, saya menyerahkan puisi-puisi saya kepada khalayak – membiar dan merelakan mereka bebas mentafsir atau menanggapinya. Sekiranya ada khalayak yang merasakan ada puisi-puisi saya yang perlu dihumbankan jauh-jauh lewat tingkap kereta api selepas menikmatinya, saya juga merasa sangat puas. Dengan begitu, terhasil sudah apa yang dikatakan ‘erti kemualan hidup’ daripada puisi-puisi pendek saya!

Cara atau katakanlah ini gaya saya, bukanlah saya ambil dari daerah asing, tetapi dari sesuatu yang bagi saya peribadi terasa lebih akrab iaitu seloka, perumpamaan dan gurindam yang telah berabad-abad menjadi milik warisan bangsa Melayu saya. Apa yang saya ambil bukalah bentuknya secara menyeluruh, sebaliknya inti dan rohnya. Hal ini tidak perlu bereti saya memusuhi apa yang dikatakan sebagai ‘puisi bernafas panjang’, sebaliknya sebagai insane seni, yang saya harapkan usahlah kita bersempitkan lingkup dan ruang untuk berbicara hanya menjurus ke satu arah.

Lalu kerana hanya dengan ‘kata’ saya ‘berkata-kata’, maka biaralah kata didalam puisi-puisi saya yang berkata-kata.

Maka catatan pendek saya ini, saya akhiri dengan sebuah puisi yang pendek, judulnya “hanya kata”:
Seperti kabus di kaca
Sebelum pagi
Menjulurkan pucuknya
Atau cakar di pasir
Sebelum laut pasang
Cuma sementara.

Demikianlah hakikat ‘kata-kata’….


Marsli N.O ,
17 Mei 1992

May 13, 2009

BIDUAN

KUMPULAN yang memuatkan 19 cerpen dan setebal 203 halaman ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1994. Harga senaskhah adalah RM 7.00.

Selain mendapatkannya di kedai, terbitan ini boleh dipesan langsung dengan cara mengirimkan wangpos (tidak dipalang) atas nama RAMLI SELAMAT ke alamat: NO 246 LORONG 9, BALOK MAJU 26100, KUANTAN PAHANG.

Maklumat lanjut mengenainya dapat juga diperoleh dengan menghubungi penulis di email.

PROSES KREATIF KUMPULAN CERPEN "BIDUAN"

"BIDUAN": DI ANTARA ADA ATAU TIADANYA DIRI DI DUNIA TANDA DAN LAMBANG *

1
APAKAH SAYA SEORANG PENGARANG?

PADA suatu waktu dulu, sewaktu sedang terkial-kial mencari jejak sendiri di peta kesusasteraan tanah air ini, lantaran digerunkan oleh sejumlah petuah yang didengungkan oleh para empu dan priyayi sastera tertentu mengenai siapa yang sepatutnya layak dipanggil pengarang dan sekaligus juga kerana rasa rendah diri sendiri, pertanyaan sedemikian itu memang selalu mengganggu diri.

Tetapi kemudian, setelah semakin lama hidup dan lebih mengenal siapa dirinya, saya pun memutuskan untuk tidak merasa malu ataupun kekok untuk menjawab "ya" bagi pertanyaan ini.

Bagi saya kini, meski atau biar apa pun tanggapan para empu dan priyayi sastera tertentu terhadap diri saya ini, apakah layak atau tidak dipanggil seorang pengarang dan sekaligus juga apa yang saya hasilkan itu layak atau tidak dipanggil cerpen, saya tidak mahu peduli. Yang penting, begitu saya telah memilih untuk memasuki dunia ini secara penuh dan melakukan kerja mengarang itu dengan segala keyakinan serta kepercayaan saya, saya merasakan diri saya ini memang seorang pengarang, (atau juga penyair), dan apa yang telah atau sudah saya hasilkan itu memang cerpen, (atau juga puisi).

Soal apakah benar atau tidak saya ini memang seorang pengarang, (atau penyair), biarlah tinggal menjadi urusan para empu dan priyayi sastera tertentu yang mungkin kerjanya hanya memberikan label-label. Tugas saya ialah jalan terus dengan keyakinan saya.

Sebenarnya, ada sebabnya kenapa tulisan atau percakapan ini saya mulai dengan pertanyaan yang demikian.

Bagi saya mengarang, (atau juga berpuisi) itu tidak lain adalah sebuah tanggungjawab yang mesti saya pikul dengan sepenuh kedirian yang saya miliki. Dengan begitu juga, bererti saya tidak boleh bersikap acak-acakan. Saya mesti dan perlu menerima segala risiko kerana pilihan saya itu, malah sekaligus juga meyakininya secara penuh dan tanpa dolak-dalik lagi. Dan untuk membuktikan itu, saya memang sudah pun berbuat. Saya memang mengarang dan (juga berpuisi).


2
MENGAPA SAYA MENGARANG?

GODAAN untuk mengarang, bagi saya secara peribadi, tidak lain adalah sebuah usaha untuk meredakan rasa sakit dan terbuang di dalam diri. Sebuah rasa sakit dan rasa terbuang yang selalu membuatkan diri menjadi resah, gelisah tidak menentu dan dengan atau setelah selesai mengarang itu sajalah baru diri saya merasa sedikit beroleh pencerahan.

Tetapi itu rupa-rupanya hanyalah untuk sementara saja. Besok atau lusa, atau mungkin juga pada waktu kini, rasa sakit dan terbuang itu kembali mendatangi saya dan dengan begitu saya mahu tidak mahu terpaksa mengarang lagi.

Maka dengan begitu juga, proses atau kerja mengarang itu bagi saya secara peribadi menjadi sebuah proses atau kerja yang tidak pernah kenal makna hentinya.

Meski dengan demikian, saya akan sentiasa menjadi manusia yang resah dan gelisah, namun ternyata saya tidak akan mungkin dapat menghindarinya lagi. Atau dalam kata lain, selagi masih bernafas saya terpaksa menerimanya sebagai suatu kenyataan hidup diri saya dan dengan begitu perlu mengarang terus menerus.

Menerima hakikat ini sebagai suatu proses, bagi diri saya secara peribadi sekaligus juga bererti kerja mengarang itu bukanlah sewaktu menghadapi huruf, mesin dan kertas semata-mata. Malah jauh dan lebih awal sebelum itu, proses itu bermula sejak atau kerana saya sendiri sudah berada di dalam kehidupan itu sendiri. Hidup di antara ada dan tiada atau pun sebaliknya. Sama ada sewaktu jaga mahupun sewaktu tidur. Hanya kemudiannya, setelah proses yang berlanjut terus dan menerus itu tiba pada saat yang benar-benar jelas dan memerlukan bentuknya secara nyata, barulah segalanya dituangkan ke kertas sebagai bentuknya sebuah karya.

Ada dasarnya kenapa saya menjadi pengarang atau didorong oleh hal yang demikian. Pengalaman masa lalu, masa kecil dan juga masakini, sangat banyak membentuk keperibadian hidup saya sebagai seorang pengarang.

Tanpa niat mahu berlebih-lebihan, terus terang saya katakan betapa hidup yang saya kenal dan alami sewaktu kecil dan di masa lalu, bagi saya secara peribadi merupakan sebuah kehidupan yang sulit lagi perit. Sebuah hidup yang selalu berhadapan dengan cemoh, kecaman dan henyakan-henyakan.

Namun saya tidak pernah mahu menyalahkan segala yang telah dan pernah terjadi. Kerana hidup yang sulit lagi perit itu jugalah saya belajar untuk bertahan dan membina benteng-benteng serta sekaligus menangkis segala henyakan. Sehingga akhirnya saya menjadi lali atau imun (imune) terhadap semuanya.

Tetapi sekaligus saya juga sedar, untuk menjadi seorang pengarang saya tidak hanya berpada dengan kekuatan fizikal. Malah sebaliknya, di samping yang fizikal, saya juga perlu segera memperkaya dan memperkuatkan batin dan sekaligus mindanya.

Untuk memperolehi itu, kerana ketidaksempatan di masa lalu, saya perlu cepat dan lebih gigih berusaha. Lalu saya menjadi rakus terhadap buku, sama ada yang
bersifat harfiah mahupun yang tidak (kehidupan itu sendiri) atau sama ada yang diperolehi secara asal atau hanya salinannya.

Lewat buku-buku inilah saya mengutip dan belajar mengenali dunia dalaman kehidupan manusia yang diungkapkan lewat kesusasteraan, sama ada yang sedia ada atau yang jauh tersorok di sebalik khazanah lama. Dan kemudian, setelah semakin berusia, saya menjadi sedikit lebih pemilih - memilih hanya yang saya fikirkan benar-benar penting dan inti sahaja.

Di antara yang penting itu, ada beberapa di antaranya menjadi sumber rujukan saya yang tidak pernah sudah, iaitu beberapa kitab dan hikayat.

Barangkali sumber-sumber yang saya anggap terpenting ini sudah tidak dianggap perlu lagi bagi sebahagian orang, atau saya mungkin dianggap terlalu nostalgik.

Tetapi saya tidak peduli. Saya tetap menyayanginya seperti saya menyayangi diri saya sendiri. Di mana pada saban waktu saya kerap mendatanginya. Terutamanya bila di luar dari sumber rujukan itu, saya kerap bertembung dengan sesuatu yang kelihatannya agak lain. Dan ternyata sikap yang demikian itu membantu saya untuk tidak terlalu mudah mahu menjadi penurut buta atau tergoda mahu menyunglap diri sepenuhnya menjadi tokoh-tokoh pengarang tersohor tertentu.

Dengan sumber dan rujukan ini, juga dengan sedikit pengalaman menggulati dunia teater kemudiannya, cara dan pilihan kepengarangan saya terbentuk.

Sebagai seorang pengarang cerpen, saya melihat sebuah cerpen tidak lain adalah sebuah pentas yang memaparkan kejadian demi kejadian, menampilkan watak demi watak dan sebagai pengarang saya sekadar bertindak sebagai sutradara yang diizinkan untuk sementara waktu mengendalikan pentasnya. Hanya bezanya, di antara saya sebagai pengarang dengan seorang sutradara pentas, pentas saya sebagai pengarang adalah kertas dan bukan pentas yang sebenarnya.

Kerana melihat cerpen sebagai sebuah pentas jugalah maka saya sekadar mahu menjadi pengarang yang sekadar berdongeng lewat tanda dan lambang dan sekaligus juga meyakini bahawa kesamaran yang menyarankan kepada makna-makna yang lebih luas dan jitu atau yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai
absurd itu sebenarnya sudah lama menjadi milik khazanah kesusasteraan bangsa saya.

Mempercayai atau meyakini ini jugalah, maka sebagai seorang pengarang saya tidak pernah tergiur untuk menjadi peniru realiti, sebaliknya saya sekadar berusaha menggambarkan kembali sebuah atau suatu realiti menurut tanggapan atau persepsi saya sendiri.

Barangkali memang, usaha saya itu tidak sepenuhnya sempurna. Tetapi sebagai pengarang, sejak dari mula memang pada posisi yang demikianlah saya meletakkan diri saya.

Saya sedar, sebagai seorang pengarang yang sekedar berdongeng dan sekaligus seorang manusia yang dengan segala kelemahan serta keterbatasan dirinya, saya tidak akan mungkin dapat menjadi peniru yang sepenuhnya berjaya meniru segala realiti di maya pada ini. Sebaliknya, upaya yang saya miliki, yang dianugerahi oleh Ilahi kepada saya, tidak lain hanyalah secuil upaya untuk menanggapi - hidup, permasalahan dan persekitarannya. Dan ini pula saya kesani lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang belaka.

Seperti misalnya kalau saya mahu menggambarkan api. Saya tidak mungkin apa lagi berniat mahu meniru api. Sebaliknya, yang mampu atau ingin saya lakukan hanyalah berusaha menggambarkan kesan dari api itu - yang terbakar, yang rentong atau yang merasa sakit kerananya. Dan ini pun hanya mampu saya ungkapkan kembali menurut upaya saya yang kecil ini lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang tertentu sahaja.

Namun pada sisi yang lain, dengan memilih beberapa kitab dan hikayat sebagai sumber dan rujukannya tidaklah pula bererti saya berniat untuk sepenuhnya kembali memanggil-manggil sejarah.

Sebaliknya, saya sekadar mahu memanfaatkan apa yang dimilik oleh bangsa saya dan telah menjadi khazanah atau perbendaharaan kesusasteraannya yang tidak ternilaikan harganya.

Hanya barangkali, kesombongan atau mungkin ketidaktahuan lah yang menyebabkan kita sulit untuk mengakuinya.

3
"BIDUAN": LATAR PENCERITAAN DAN MOTIF


BIDUAN, kumpulan cerpen saya setebal 204 halaman yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994 dan dipasarkan dengan harga RM 7.00 merupakan himpunan 19 cerpen yang mana telah dicipta sekitar tahun 1988 hingga 1990.

Cerpen-cerpen tersebut ialah Nazak, Upacara, Wasiat, Penobatan Terakhir, Biduan, Pemburu, Primadona, B- - - - A, Daging, Menjadi Orang, Kepala, Selepas Mesyuwarah, Niat, Samseng, Si Pemacu, Ratu, Kedok, Mulut-Mulut dan Ekor-Ekor.

Secara umumnya, garis besar tema atau persoalan pokok yang cuba saya gambarkan di dalam kumpulan cerpen ini terbahagi kepada beberapa bahagian.

Pertama, ialah protes dan sindiran saya terhadap sikap dan perilaku manusia yang kerana ingin atau cuba mengekalkan ketokohan dirinya, memilih untuk terus hidup bergelumang dengan kehipokritan.

Ini misalnya cuba saya paparkan lewat cerpen-cerpen berjudul Biduan, Penobatan Terakhir, Pemburu, Upacara, Ekor-Ekor, Kedok dan Samseng.

Keduanya, berhubungan dengan soal-soal cinta dan kasih sayang, yang saya lihat dari pelbagai sisi dan ungkapan erti yang berlainan dari makna yang sudah disinonimkan dengannya.

Misalnya, dalam mengungkapkan rasa cintanya yang mendalam, apakah tidak mungkin sebahagian dari kita sanggup melakukan sesuatu yang diluar batasan. Dengan tindak atau perilaku yang kadang-kala tidak masuk akal, yang kadang-kala berbaur dengan unsur-unsur kesadisan.

Ini antara lain saya cuba gambarkan lewat cerpen yang berjudul Nazak, Wasiat, Daging dan Primadona.

Di dalam Nazak misalnya, saya cuba gambarkan secara remang-remang dan simbolis, betapa seorang isteri, lantaran terlalu sayangkan seorang lelaki bernama suami, meskipun lelaki yang bernama suami itu sesungguhnya bukanlah seorang lelaki yang wajar disanjung sedemikian unggul kerana tingkah kebinatangannya yang sanggup menggoda menantunya sendiri, telah memaksakan kehendaknya itu kepada anaknya sendiri, meskipun tindakan nya itu amat keterlaluan.

Sementara di dalam Wasiat pula, seorang isteri kepada seorang pelukis terkenal bernama Dali, kerana sifat cemburu nya yang keterlaluan dan tidak mahu suaminya memindahkan cintanya kepada wanita lain bila dia telah tiada, sanggup
memperdayakan suaminya itu agar melakukan suatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, yang mana akhirnya berkesudahan dengan pelukis terkenal itu dihukum kerana didapati bersalah membunuh isterinya sendiri.

Melalui cerpen Daging, yang menempati halaman 87 kumpulan cerpen ini, yang dimulai dengan adegan seorang lelaki tua yang merasa aneh bila mendapati dirinya belum lagi mati setelah memakan daging ajaib yang dibeli dari seorang wanita di pasar, telah tidak dikenali lagi oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Ekoran dari itu juga, dalam upaya lelaki tua itu untuk meyakinkan anak-anak dan cucu-cucunya, pelbagai cara telah dilakukannya, yang berkesudahan dengan mencabik-cabik daging di tubuhnya sendiri. Yang mana secara tersirat, mengutarakan mesej betapa seorang tua (ayah/datuk/ nenek) sesungguhnya terlalu banyak berkorban untuk anak-anak dan cucu-cucunya meskipun pengorbanannya itu tidak pernah atau jarang-jarang mendapat penghargaan atau pembalasan yang setimpal. Yang jika diperbandingkan dengan kisah nyata di maya pada ini, di era manusia semakin menjadi mesin ini, gejala pengabaian terhadap warga tua semakin ketara.

Pada beberapa cerpen lain di dalam kumpulan ini, seperti misalnya cerpen Si Pemacu, B --- - A dan Selepas Mesyuwarah pula, saya cuba utarakan mesej betapa manusia itu, meski tidak semua, suka benar melakukan kerja sia-sia dan tidak berani menerima kenyataan akan kebodohan dirinya sendiri sehingga akhirnya mereka menanggung akibah yang fatal.

Ini antara lain misalnya cuba saya gambarkan di dalam cerpen Selepas Mesyuwarah, yang memaparkan bagaimana beberapa tokoh telah mengadakan mesyuwarat dan menyimpulkan bahawa segala bencana yang menimpa daerah mereka adalah angkara burung-burung gagak. Akhirnya, dalam keasyikan bermesyuwarat itu, mereka telah kehilangan anggota tubuh masing-masing.

Demikianlah secara umumnya beberapa garis besar persoalan yang cuba saya gambarkan dari cerpen-cerpen di dalam kumpulan Biduan ini.

4
SEBUAH
cerpen bagi saya adalah sebuah dunia yang saya namakan sebagai "dunia cerpen" yang mana di dalamnya memuatkan pula sebuah dunia lain yang saya anggap sebagai pendahulu sebelum lahirnya "dunia cerpen" itu.

Dunia lain sebagai pendahulu yang saya maksudkan itu ialah "dunia kehidupan" yang mana di dalamnya hidup dan bernafas anak manusia dengan segala tingkah, perilaku, resah dan gelisahnya.

Di antara kedua dunia ini iaitu "dunia cerpen" dan "dunia kehidupan" itu, ada pula pembahagiannya. Pembahagian itu saya namakan sebagai yang sebelum, yang sedang dan yang selepas.

Ada sebabnya saya memberikan pembahagian yang demikian.

Bagi saya, sebelum lahirnya sebuah cerpen mesti ada yang terlebih dahulu mendorong sebuah cerpen dilahirkan dan setelah dilahirkan pula, sebuah cerpen perlulah mempunyai isi dan isinya itu tidak lain adalah kehidupan dan kehidupan itu pula menurut hemat saya pastilah ada awal, tengah dan akhirnya. Dan ini juga bererti setiap sesuatu itu tidak berdiri sendiri.

Bertolak dari pembahagian yang demikian ini jugalah bagaimana sebuah cerpen saya mulai diramu, dicerna dan terbentuk akhirnya sebagai sebuah karya.

Sebagai pendahulu atau sebelumnya, selain dorongan untuk mengarang itu sendiri, saya selalu digugah oleh sesuatu hal, peristiwa atau kesan-kesan tertentu. Di bahagian pertengahannya atau sedang itu pula, gugahan itu semakin mengkristal dan bersatu dalam urat serta nadi diri, yang sentiasa menjadi bahagian dari kehidupan saya sama ada di antara ada ataupun tiada, sama ada sewaktu sedang tidur atau sewaktu sedang jaga. Dan kemudian, pada bahagian selepasnya, sebagai suatu kesatuan, lahirlah cerpen dalam bentuk sebuah karya.

Tetapi, begitu lahirnya sebuah karya, ketiga-tiga "yang" itu tetap juga berlanjut terus dan menerus tanpa hentinya. Lalu dengan begitu, proses mengarang cerpen bagi saya, selagi hidup dan bernafas, menjadi suatu proses yang sentiasa mengalir dan sekaligus, di luar dari proses itu, tidak dapat dengan sengaja atau terlalu saya rancang-rancangkan terlebih dahulu. Malah, jika berada di luar dari proses itu, saya juga tidak pernah tahu secara jelas bagaimana cerpen saya akan berakhir dan kalau pun saya cuba menetapkan pengakhirannya, pengakhiran itu pun sama sekali menjadi lain dari apa yang telah dirancangkan pada mulanya. Atau, jika di penghujung dari proses itu, cerpen saya diakhiri juga, itu tidak lain kerana rasa resah di dalam diri saya telah sedikit menjadi reda.

Dilingkari oleh resah yang berulang-ulang yang menjadi dorongan untuk saya terus menerus berada di dalam proses mengarang dan kerana terikat oleh "yang" yang sama dan itu-itu pula menjadikan saya seolah-olah selalu mengulang-ulang hal yang hampir sama di dalam setiap cerpen.

Secara demikianlah cerpen-cerpen saya sedikit demi sedikit terbentuk dan menjadi jelas akhirnya sebagai sebuah karya. Dan kalau pun tema atau pokok persoalannya, watak, latar dan waktunya berlainan, kelainan itu masih tetap diikat
oleh benang merah "yang" yang sama iaitu yang sebelum, yang sedang dan yang selepas atau awal, tengah dan akhir itu juga.

5
BAGAIMANAKAH
saya mengarang?

Seperti telah disebutkan di atas, proses mengarang saya adalah tidak lain sebuah proses pengulangan belaka. Pengulangan yang dikat oleh benang merah bernama yang sebelum, yang sedang dan yang selepas atau awal, tengah dan akhir itu. Sementara dorongannya pula, tidak lain kerana mahu meleraikan rasa resah dan gelisah di dalam diri. Dan kerana rasa yang demikian itu jugalah maka saya selalu melihat objek-objek yang menyeringai kesakitan bergentayangan di dalam imaginasi dan pada saat yang sama pula pendengaran saya turut mendengar rintih sayu, raung ngilu dan pekik sakit yang entahkan datang dari mana. Dan pada saat yang bersamaan juga, bagaikan suatu kontradik pula, saya turut mendengar hilai sinis, tawa ejek dan nyanyi ria yang juga entahkan datang dari mana.

Kesemua ini kemudiannya berbaur di dalam imaginasi saya, sama ada sewaktu sedang ada atau tiada, sewaktu sedang jaga atau lena. Kerana itu juga, saya selalu merasa tidak berada di tempatnya meski memang sedang berada di tempatnya. Atau ketika sedang tidur pula, tanpa mampu dan dapat saya kawal saya sering meracau, bercakap-cakap dan malah seolah sedang berkelahi dengan seseorang, sehingga sering kali melahirkan pekik dan jeritan yang menggangu nyenyak orang lain.

Mengingati ini semua, saya kadang-kadang merasakan takut untuk terus mendepaninya. Apalagi setelah segalanya itu semakin mengkristal dan memperjelaskan bentuknya dan saya pula sedang berada pada proses terakhir penciptaan yang memaksa saya menzahirkannya secara lebih jelas sebagai sebuah
karya.

Pada saat-saat yang demikian, meski pun di dalam imaginasi pada mulanya, seakan terasa segala yang bergentayangan di depan pandangan dan segala yang terngiang dipendengaran saya itu memang benar-benar ada. Ini semakin atau lebih menjadi jelas lagi kerana sewaktu menyiapkan karya pada proses terakhir itu saya selalunya melakukannya di waktu malam yang sangat larut atau di pangkal pagi, sewaktu orang lain nyenyak tidur.

Lalu, agar tidak terus diancam oleh rasa takut itu, saya pun memaksa agar segalanya itu dapat saya penjarakan sesegera mungkin dan penjaranya itu tidak lain adalah di atas kertas.

Jadi dalam kata lain, cerpen-cerpen saya adalah refleksi atau biasan dari segala rasa takut dan cemas saya. Dan segala biasan itu pula merupakan biasan lain dari segala objek-objek yang demikian itu yang kemudiannya saya zahirkan secara tersurat lewat tanda-tanda dan lambang-lambang dan secara tersirat pula maknanya saya selitkan lewat tanda-tanda dan lambang-lambang juga.

Tetapi, biar bagaimana pun, dengan mempergunakan tanda dan lambang-lambang itu dan sekaligus meletakkan posisi karangan saya sebagai sebuah dongeng, sama ada untuk diri saya sendiri atau barangkali juga kepada orang lain (atau pembaca) yang sudi mendengarkannya, saya sama sekali tidak berniat mahu mengada-adakan sesuatu yang tiada atau mahu meletakkan diri saya ini kononnya satu takah lebih tinggi berbanding dengan teman pengarang yang lain.

Sebagai pengarang, dengan cara atau pilihan yang demikian, saya sekadar mahu melaksanakan tanggungjawab kepengarangan saya, juga dengan kepercayaan penuh terhadap kemerdekaan kreatif saya dan orang lain, untuk mengucapkan sesuatu.

Tidak lain dari itu.

6
DARI
manakah saya mendapat bahan?

Tentu sajalah bahan untuk setiap cerpen saya itu saya petik atau ambil dari hidup sehari-hari yang saya depani ini sendiri. Sama ada yang saya depani langsung secara peribadi, atau apa yang saya lihat, apa yang saya baca, apa yang saya dengar, inilah yang menjadi bahan bagi cerpen-cerpen saya.

Nazak
Cerpen ini saya tulis dengan keyakinan bahawa sebuah cerita boleh diperkembangkan sewaktu proses penciptaannya sedang berlangsung. Untuk menguji kebenarannya, cerpen ini saya tulis secara berdikit dan perlahan-lahan, tanpa perancangan yang jelas dan teratur. Dengan cara demikian, begitu selesai suatu kata, ayat atau para saya ketik, saya akan berhenti seketika untuk mencari sambungan-sambungannya. Dan sepanjang waktu menulis itu juga, gambaran anjing yang sedang menyalak terasa jelas di ruang imaginasi saya. Begitu juga dengan bunyi salakan. Seakan terasa terdengar terngiang-ngiang di telinga.

Upacara
Pada pembukaan cerpen ini saya membayangkan sebuah pentas dan di tengah pentas itu, di atas sebuah ranjang yang terbuat dari marmar putih terbujur kaku tubuh seseorang. Dengan bayangan yang demikian, saya membayangkan satu demi satu pelaku masuk dan keluar, adegan demi adegan silih berganti. Dan agar tidak terlalu kelihatan kesan pentasnya, saya pindah atau ubahkan ruangnya mengikut pergerakan cerita.

Wasiat
Sewaktu mengarang cerpen ini, watak pelukis Dali yang saya bayangkan di dalam fikiran ialah pelukis Salvador Dali. Sementara watak Loretta tidak pasti bagaimana saya temui.

Penobatan Terakhir
Seperti cerpen Upacara, saya memang membayangkan sebuah pentas ketika mengarang cerpen ini.

Biduan
Kisah ini berdasarkan tafsiran peribadi saya mengenai kehidupan seorang penyanyi dan untuk mengelak dari terlalu klise, saya selitkan di dalamnya kisah-kisah tambahan yang sengaja saya fiktifkan.

Pemburu
Pemburu memang kisah para pemburu. Tetapi apa yang mereka buru itu saya perluaskan lagi. Boleh saja binatang atau juga sesuatu yang bukan binatang. Pokoknya berburu.

Primadona
Kisah ini, walaupun bertolak dari kisah di hari-hari terakhir seorang seri panggung, tetapi saya maksudkan untuk semua wanita yang terlalu mengejar glamour. Ketika mengarang cerpen ini, saya membayangkan sebuah kamar sempit di belakang sebuah panggung. Dengan bayangan yang demikianlah sedikit demi sedikit saya merangkaikan cerita ini.

B....A
Cerpen ini bertolak dari sikap saya yang memang suka berimaginasi dan berfikir di luar dari kebiasaan. Saya bayangkan bagaimana jadi kita manusia ini kalau tiba-tiba mendapat khabar langit akan runtuh?

Daging
Cerpen ini saya cipta di malam yang sudah larut selepas di waktu petangnya saya ke pasar. Tetapi tidak tahu kenapa saya memilih daging dan tidak ikan atau sayur misalnya. Barangkali kerana pada masa yang sama, saya terfikirkan mengenai daging yang lain yang juga diperdagangkan orang di kamar-kamar hotel atau di lorong-lorong. Kerana itu jugalah barangkali, seorang teman mengatakan saya sebenarnya mahu berlucah dengan cerpen ini. Dan sebagai reaksinya, saya hanya ketawa. Tetapi saya memang tidak bermaksud mahu berlucah.

Menjadi Orang
Cerpen ini, di samping sebagai ujian untuk menghasilkan sebuah cerpen yang menggunakan sebuah pentas sebagai modelnya, juga merupakan latihan menghujah sebuah idea yang kecil dengan atau di dalam diri saya sendiri. Barangkali ini kesan dari bacaan terhadap buku Pelajaran Berfikir, Berfikir Praktis dan Berfikir Lateral oleh si Edward de Bono itu. Atau barangkali juga kesan dari latihan yang saya lakukan sebelum menulis sebuah rencana. Dan sewaktu mengarang cerpen ini saya memang membayangkan sebuah pentas.

Kepala
Cerpen ini saya tulis kerana waktu itu saya memang sedang sakit kepala. Tergerak untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini, saya menelaah buku di perpustakaan perubatan di jabatan saya. Pengalaman berinteraksi dengan doktor dan pesakit Migraine dan HPT (Darah Tinggi) juga turut saya ramu di dalam cerpen ini. Tetapi kerana saya tidak berniat menulis sebuah rencana mengenai sakit kepala, maka saya masukkan watak isteri yang suka membentak-bentak suaminya.

Selepas Mesyuwarah
Cerpen ini saya tulis beberapa hari selepas saya melawat bandar Klang atas urusan kerja. Sewaktu melewati pasar dan mencari gerai makan pada waktu tengahari, saya kebetulan melihat sejumlah sedang gagak merubungi tong sampah.

Niat
Niat sebahagiannya memang merupakan niat saya sendiri yang bertekad mahu kurangkan bercakap dan lebihkan kerja. Waktu itu, saya merasa sudah terlalu banyak berkata-kata sedangkan apa yang saya kerjakan rasanya terlalu sedikit.

Samseng
Cerpen ini bertolak dari isu Hang Tuah yang sedang hangat diperkatakan waktu itu. Sebagai seorang pengarang, saya merasa saya juga berhak memberikan pendapat menurut cara saya sendiri.

Si Pemacu
Idea menuliskan cerpen ini muncul sewaktu saya sedang mendengar cerita seorang teman yang selalu bermimpi ngeri. Kepada teman ini saya syorkan kenapa tidak mimpi-mimpi ngeri beliau itu ditulis atau dilukis saja di kertas, dengan alasan sebaik sahaja beliau berani berbuat demikian, tentu beliau akan lebih bersedia untuk menghadapinya. Tetapi beliau tidak bersetuju dengan saran beliau itu. Namun begitu, sewaktu menulis cerpen ini, bukan kisah dari mimpi teman itu yang saya fikirkan, sebaliknya apa yang sudah berlegar di dalam imaginasi saya sejak beberapa hari sebelum itu pula yang saya tuliskan. Punca terjadi begini kerana saya fikir kalau saya pandai menasihati orang lain agar berbuat demikian, kenapa saya juga tidak mempraktikkannya.

Ratu
Cerpen ini memang mengenai seorang ratu. Tetapi bukan ratu yang memang ratu. Sebaliknya mengenai seorang wanita yang merasakan dirinya ratu dan khuatir bentuk tubuhnya akan berubah kalau nanti dia melahirkan anak.

Kedok
Sebahagian dari bahan untuk cerpen ini adalah dari cabaran seorang kawan yang memang tahu saya penulis. Kawan ini mencabar agar saya menulis sebuah cerpen yang menggambarkan pertelingkahan seseorang dengan dirinya sendiri yang disangkakan sebagai orang lain.

Mulut-Mulut
Cerpen ini sebahagiannya merupakan peristiwa yang saya alami sendiri dan selebihnya, agar tidak kelihatan terlalu bersifat peribadi, saya ramukan dengan unsur fiktif. Peristiwa yang benar adalah pada bahagian umpatan, sementara yang fiktif itu pula pada bahagian mulut-mulut yang terawang-awang itu.

Ekor-Ekor
Model bagi cerita ini sama juga dengan asas bagi cerita Upacara, Penobatan Terakhir dan Menjadi Orang. Dan saya memang bermaksud menuliskan sebuah naskhah teater yang dapat saya mainkan bersama kawan-kawan atau bagi orang lain pula dapat dibaca sebagai sebuah cerpen.

7
SEHINGGA
sejauh ini, sebagai seorang pengarang, sudah di manakah sebenarnya saya berada?

Sungguh, bagi saya biarlah pertanyaan ini menjadi urusan para empu dan priyayi sastera tertentu belaka. Tugas saya hanyalah mengarang dan terus mengarang menurut apa yang telah dan sudah saya jadikan pilihan atau jalan hidup saya.

Saya tidak pernah menganggap soal di mana itu sebagai suatu soal yang terlalu penting. Sebaliknya bagi saya, soal apa itulah yang lebih penting.

Maksudnya apa yang saya kerjakan, apa yang saya yakini, apa yang akan terus dikerjakan, itulah persoalan-persoalan yang selalu menjadi perhatian penuh saya. Yang selain dari itu tidak.

Jadinya, kalau saya mengarang, yang selalu saya fikirkan pun demikianlah juga. Apa yang saya karang, itulah yang penting. Sementara soal bagaimana boleh apa saja. Kalau ada yang mahu atau yakin sebagai peniru, silakan. Yang penting adalah keterbukaan. Dan kerana itu saya tidak pernah menganggap di antara satu pihak atau satu generasi dengan yang lain ada perlu ada kasta dan pemeragaan keegoan.

Malah secara peribadi, saya selalu memandang dengan hormat dan kagum terhadap karya, pengarang dan generasi apa pun. Dan saya harap sikap seperti ini menjadi milik semua kita yang bernama pengarang.

Sebagai pengarang, saya beranggapan sebuah karya sastera itu tidak lain adalah sebuah dunia karya yang menawarkan apa saja kemungkinan. Di mana di dalamnya boleh saja menawarkan kebodohan mahupun kecerdikan. Dan kedua-dua ini punya hak untuk hidup dan bernafas. Lalu dengan begitu juga, bagi saya

secara peribadi, pada dasarnya tidak ada pengarang yang cerdik dan pengarang yang bodoh. Yang jadi perbezaan hanyalah soal apakah mampu atau tidak dia memberikan bobot seni - seni yang mampu mengusap takaran batin khalayak (pembaca) karyanya.

Berhubung dengan diri saya sendiri, secara peribadi, untuk menentukan apakah benar atau tidaknya apa yang telah saya cuba gambar dan utarakan di dalam karya-karya saya, saya serahkan kepada khalayak (pembaca) untuk menentukannya. Apakah saya hanya berbohong, apakah saya munafik, khalayak
(pembaca)lah yang berhak menentukan dan saya dengan hati terbuka siap untuk dinilai sebagai apa pun.

Buat diri sendiri, sebagai pengarang saya meyakini betapa sebuah karya, yang sastera maksud saya, tidak selalunya berniat menawarkan hiburan melulu kerana yang cuba diusapinya adalah minda dan bukan emosi semata-mata.

8
SEBAGAI seorang pengarang saya tentu saja tidak lahir sebagai anak buluh betong. Terus-terang saya saya akui, selain persekitaran dan usaha diri, banyak sekali tokoh yang telah membantu saya. Kepada sekelian tokoh-tokoh ini tentu saja, atas segala budi dan jasa mereka, saya sangat berterima kasih!

Kuantan
17 - 26 Ogos 1997

---------------------------------------------------------------------------------------
* Disampaikan di Kuliah MM2794 Kursus Cerpen Melayu Mutakhir di Bilik Sumber, Jabatan Persuratan Melayu UKM pada 29 Ogos, 1997

March 23, 2009

NEGERI INI, ANAK: CATATAN MASA REMAJA

1.
KUMPULAN
puisi remaja saya yang pertama "Negeri Ini, Anak" diterbitkan secara "mewah" oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993 selepas bertatih sejak lama menerbitkan puisi secara stensilan dan bersendirian iaitu “Siapa di Balik Sana?” (1986) dan “Bla, Bla, Bla (1990)”.

Kumpulan yang memuatkan 58 buah puisi ini merupakan gugusan karya yang telah dicipta sepanjang waktu 'remaja' saya sekitar tahun-tahun 1981 - 1988 dan sebelum itu, puisi "Negeri Ini, Anak" yang menjadi judul antologi puisi remaja saya ini telah meraih salah satu hadiah Sayembara Puisi Kebangsaan Esso-Gapena 1989 dan menjadi salah satu puisi wajib peserta sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, diantologi dalam "Di Atas Mimbar Merdeka" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan pertama 1989 dan kedua tahun 1990) dan kemudiannya dimuatkan juga dalam antologi "Rumah Merdeka" terbitan Gabungan Penulis Nasiopnal (GAPENA: 1998).

Saya maksudkan kumpulan puisi ini sebagai "remaja" ialah remaja dalam suasana dan tanggapan. Iaitu apa tercipta itu merupakan lanjutan dari renungan, penelitian, pemerhatian dan penghayatan dari masa-masa remaja tersebut.

Dalam kata lain, bagaimana saya menanggapi dan menghadapi persoalan hidup, membentuk diri, tekad dan keyakinan, semuanya adalah hasil dari segala yang dikutip dari masa remaja tersebut, yang kemudiannya sebelum menjadi sebuah puisi, telah melalui proses 'pengeraman' yang agak lama pula.

Sepertikan manusia lain, masa remaja yang saya lalui itu tidak selamanya penuh dengan kegembiraan. Namun begitu, sebagai manusia, apa pun yang dilewatinya di dalam hidupnya perlulah disyukuri. Dan sikap inilah yang saya pilih.

Tidak ada gunanya meratapi sesuatu yang terjadi kerana tiap yang terjadi itu, pasti ada kebaikan dan hikmahnya yang tersendiri. Dan ini saya kira, secara dasar atau siratannya sebanyak dan sedikit terbias pada puisi-puisi dalam kumpulan ini. Sesungguhnya, segala sesuatu yang dilewati atau ditempuhi penyair di dalam hidupnya, mempunyai makna serta rahsia yang sentiasa tersedia untuk diterokai dan dipuisikan.

Lalu di sini sebagai kesimpulan dari pengenalan ini, seorang penyair, mahu tidak mahu, harus mengajar dirinya agar sentiasa sedia dan berani menghadapi apa saja di dalam hidupnya. Hanya dengan cara demikianlah hidup akan menjadi dan terasa lebih bererti.

Kerana demikianlah sifatnya hidup: langit tidak akan selamanya mendung dan panas tidak akan selamanya hingga ke petang, kerana hujan mungkin akan menjelang di tengah hari!

2
Memang, puisi "Negeri Ini, Anak" ini saya cipta sekitar tahun 1988, iaitu pada usia yang tidak lagi remaja (31 tahun). Namun saya tetap merasakan bahawa "benih" awalnya adalah dari masa remaja itu.

Dalam kata lain, bagaimana saya menanggapi dan menghadapi persoalan hidup, mem bentuk diri dan tekad serta keyakinan, semuanya adalah hasil dari segala yang dikutip dari masa remaja tersebut.

Jadi proses penciptaan puisi-puisi di dalam kumpulan ini merupakan lanjutan dari proses pada masa remaja itu juga.

Jika ditanyakan proses penciptaannya, jawabannya masih tetap sama. Bahawa ini bermula dengan suatu cetusan di dalam diri. Cetusan atau gugahan ini dialami atau jelasnya terjadi setelah diri penyair mengalami pelbagai rupa dan liku duga ser ta peristiwa di dalam hidupnya.

Namun begitu, rupa dan liku duga serta peristiwa yang telah ditempuh penyair tidak bererti apa-apa jika dirinya peribadi tidak mengamati dengan mendalam dan kemudian membuka pintu kreatif di dalam dirinya.

Pada peringkat berikutnya, dalam mencipta, prosesnya agak lambat bergerak. Ini jika diukur dari saat pertama mengalami gugagahn atau yang bagi sebahagian orang dikatakan 'ilham' dengan saat mulai mencipta itu sendiri. Dan ini selalunya membua tkan diri sering merasa 'sakit'.

Gugahan-gugahan itu dibiarkan bergulat terus menerus di dalam diri, sedikit demi sedikit mulai direnda-rendakan dan setelah mulai atau sedikit terbentuk maka mengalami proses rombakan yang lain pula. Setiap kali mendepani proses tersebut, ter asa ada saja yang tidak kena.

Maka kerana itu jugalah, sebuah puisi bagi saya terlalu lambat menjadi. Dan setelah menjadi pula, diri kembali terasa 'gatal' untuk memenggalnya lagi. Maka, mungkin kerana itu jugalah puisi saya selalunya pendek dan ringkas, malah kadang-kada ng seperti tergantung.

Namun begitu, benarlah seperti pernah diucapkan, sebuah puisi bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan kerana itu juga bagaikan tidak pernah selesai.

Namun, dalam ketidakselesaian itu, ianya 'terpaksa' diselesaikan juga. Walaupun setiap kali menghadapinya, walhal yang sudah pun tercetak, masih terasa ada yang tidak selesainya itu, tetapi diri dipujuk juga agar belajar untuk menerima apa ad anya dan untuk atau sebagai suatu rakaman situasi yang tertentu.


Lantaran itu juga, dalam mencipta rasanya agak mustahil untuk mengucapkan kata 'puas'. Dan kerana rasa tidak puas itu jugalah diri 'dipaksa' untuk terus menerus berkarya.

Proses ini bagaikan satu kitaran layaknya. Yang mana dari sisi lain, menumbuhkan rasa hidup dan ghairah di dalam diri dari tengah-tengah kehidupan penuh dengan sayur ini.

Dari sisi lain juga, kesakitan dan kepayahan dalam mencipta ini sebenarnya memberikan manfaat juga dalam hidup seharian. Dengan demikian di segi kejiwaan, diri diajar agar tidak mudah menyerah kalah bila bertembung dengan dugaan. Atau lekas merasa rusuh menghadapi soal-soal remeh-temeh di dalam hidup.

Walaupun ini tidak bererti diri dapat berbahagia di dalam dunia tetapi setidak-tidaknya menyedari bahawa 'dirinya' masih tetap "ada"!

Sebagai contohnya, di dalam puisi berjudul "Bagai Sebuah Parabel", frasa: "Hidup ini/ bagai sebuah parabel/ mengajak fikirku/ mencari makna/ mengajar diri/ tak perlu keterlaluan…" merupakan secuil upaya diri penyair untuk memahami hidup yang telah dan sedang ditempuhnya. Betapa di dalam hidup, diri menyedari bahawa ada bahayanya jika terlalu mengharap kan sesuatu, kerana kenyataan sesungguhnya tidak akan selamanya sama seperti apa yang diharap-harapkan. Ini diutarakan lewat "tak perlu keterlaluan".

Betapa pun diri dirasakan diperlakukan tidak adil, atau dikecewakan, namun hidup ini bagaikan putaran roda, yang di atas tidak akan selamanya berada di atas dan demikian juga yang di bawah, tidak akan selama di bawah. Yang penting adalah usaha dan ketekunan. Yang di atas, satu saat, bila tiba gilir dan putarnya, pasti pula akan ke bawah dan demikian juga yang di bawah, pasti akan ke atas pula. Untuk menyimpulkan itu, dilanjutkan sebagai kesimpulannya frasa berikut: kerana segalanya/ menuntut perenungan/ dan berputar/ pada suatu penentuan.

Dorongan atau motivasi puisi ini, secara jelasnya didorong oleh kesedaran yang disebutkan di atas. Kata 'parabel' itu terilham dari kegemaran penyair yang pada suatu waktu banyak membaca kisah-kisah.

Dalam puisi yang lain berjudul "Segalanya telah Kita Noktahkan" yang ditulis dalam usia mencecah 24 tahun masih jelas terkesan nada 'keremajaannya'.

Namun dari segi persoalannya, apa yang dimaksudkan dengan 'noktah' ialah bila tiba saatnya setiap dari kita mestilah belajar menghadapi realiti hidupnya. Tidak mudah dan perlu lagi dibuai oleh duka di masa silam atau rindunya. Dan kesedaran ini didapatkan dari apa yang pernah ditempuh di masa-masa remaja, yang kemudiannya ditarik satu kesimpulan darinya, bahawa di dalam hidup ini kita mestilah belajar untuk tidak mudah merasa kalah.

Segala sesuatu dapat menjadi benih atau percikan sebuah puisi. Puisi berjudul "Seperti Seorang Pengumpul Setem" diilhami daripada hobi atau kegiatan masa lapang mengumpul setem yang sekaligus menimbulkan pemikiran tentang hidup itu sendiri.

Tidakkah duka itu bagaikan sekeping setem yang melekat pada sampul dan kehidupan ialah kulitnya? Lalu itu, jika tiap setem yang dihimpun di dalam album menjadi bernilai pada suatu saat, tidakkah demikian juga dengan segala pengalaman dan peristiwa yang ditempuh serta dilewati dildalam hidup ---bagi yang ingin dan mahu menjadikannya bahan renungan dan cerminan hidup?

February 22, 2009

NEGERI INI, ANAK


KUMPULAN memuatkan 58 puisi ini di terbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan beredar di pasaran dengan harga RM 4.00.

Salah satu sajak dalam kumpulan 59 halaman ini, yang sekaligus menjadi judul kumpulan sajak ini, "Negeri Ini, Anak" merupakan salah satu puisi yang memenangi sayembara penulisan sajak kebangsaan anjuran GAPENA yang pertama.

Kumpulan sajak ini juga merupakan buku sajak pertama penyair Marsli N.O yang diterbitkan oleh penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengantar untuk kumpulan sajak ini ditulis oleh Dr. Talib Samat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).